Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk menambah jumlah pelajar matrikulasi.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, penambahan kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini, dengan mengekalkan kuota Bumiputera 90 peratus dan 10 peratus bukan Bumiputera adalah langkah yang tepat.

Katanya, usaha itu selaras dengan agenda perubahan yang hendak dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan keadilan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini dengan memberikan penekanan kepada pendidikan.

Jelas beliau, pengekalan kuota itu tidak boleh dilihat dibuat atas premis perkauman, tetapi bagi mengubah kehidupan golongan Bumiputera untuk lebih berdaya saing dengan kaum lain di negara ini.

Selain itu, kata beliau, langkah meningkatkan sosio-ekonomi Bumiputera terutama dari sudut pendidikan lebih kepada dasar menaiktaraf kehidupan kelas penduduk di luar bandar.

“Hasrat kerajaan sebelum ini untuk meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera kepada 30 peratus melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih gagal dicapai walaupun pelbagai inisiatif ekonomi dilaksanakan terutama dalam bidang perniagaan.

“Bagi Pemuda Amanah, kegagalan ini disumbangkan oleh kegagalan penguasaan pendidikan di kalangan Bumiputera dalam bidang kompetitif termasuk Sains dan Teknologi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kelmarin, Dr. Maszlee dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menambah kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

Kata Menteri Pendidikan itu, usaha berkenaan bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, dengan meningkatkan peluang pendidikan kepada Bumiputera melalui pintu matrikulasi, Pemuda Amanah yakin ekonomi orang Melayu dan penduduk Sabah dan Sarawak akan dapat dipertingkatkan bagi mengeluarkan mereka daripada golongan B40.

Pendidikan katanya, adalah elemen asas dan pemangkin bagi membina sebuah negara maju.

Pendidikan juga kata beliau, adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia sepertimana kata-kata keramat tokoh revolusi Afrika Selatan, Nelson Mandela.

“Untuk mengangkat kedudukan negara ke tahap lebih baik setanding negara maju di rantau Asia, peluang pendidikan yang lebih baik kepada golongan ketinggalan harus diberikan perhatian.

“Pemuda Amanah juga menggesa Kementerian Pendidikan menempatkan mereka yang bermerit sahaja, bukan atas dasar politik atau nepotisme,” katanya.

Kata Faiz, kuota khas juga perlu diberikan kepada anak-anak segmen pekerjaan tertentu yang perlu diubah taraf sosio-ekonomi mereka termasuk petani dan nelayan.

“Pemuda Amanah menegaskan keadilan sosial bukan bermakna perkauman, tetapi bagi membolehkan negara ini dapat dibangunkan dengan lebih adil melalui pembangunan modal insan.

“Keadilan sosial di negara ini tidak boleh disamakan dengan negara lain kerana faktor demografinya yang berbilang kaum dengan wujudnya kesenjangan antara kaum yang memerlukan perancangan dasar yang mementingkan pembelaan kepada kaum yang ketinggalan.

“Dasar sebegini juga telah dilaksanakan dengan baik di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan dasar itu di kedua-dua negara tersebut ternyata berjaya memastikan kaum yang dilihat ketinggalan memperolehi pendidikan yang baik dan seterusnya mengurangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum di dalam negara berkenaan. – MalaysiaGazette