Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Gambar hiasan

RIO DE JANEIRO – Syarikat minyak Brazil, Petroleo Brasileiro (Petrobras) mengumumkan penjualan 50 peratus hak penerokaan dan pengeluaran di dua lapangan luar pesisir miliknya kepada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) pada harga AS$1.2 bilion.

Penjualan itu melibatkan lapangan Tartaruga Verde dan Modul 3, lapangan Espadarte.

Jelasnya, pembayaran akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu AS$258.7 juta pada Khamis dan AS$1.03 bilion ketika urusniaga selesai.

Petrobras akan mengekalkan pegangan sebanyak 50 peratus dan operasi lapangan manakala Petronas pula akan mendapat kawasan yang lebih luas dalam pengeluaran minyak di Brazil di mana syarikat petroleum Malaysia itu telah pun beroperasi di situ dalam segmen minyak pelincir.

Lapangan Tartaruga Verde akan memulakan operasi pada 22 Jun ini yang mana ketika ini mengeluarkan kira-kira 103,000 tong minyak sehari dan 1.2 juta meter padu gas sehari.

Modul 3 pula adalah kawasan di lapangan Espadarte yang akan dibangunkan sebagai jalan bersepadu dengan Tartaruga Verde.

Ia dijangka memulakan pengeluaran minyak pada 2021

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada program nyah-pelaburan Petrobras bagi mengurangkan beban hutangnya.

Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut turut mengumumkan, ia bakal memuktamadkan penjualan penuh anak syarikat saluran paipnya, TAG kepada syarikat Perancis, Engie pada harga AS$8.6 bilion.

“Pengurusan portfolio berterusan menyumbang kepada peruntukan modal yang lebih baik sekali gus meningkatkan penjanaan nilai kepada pemegang-pemegang saham kami.

“Ini sebagai kaedah tambahan bagi membolehkan kami mengurangkan beban hutang serta kos modal syarikat,” kata Ketua Eksekutif Petrobras, Roberto Castello Branco dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jumlah keseluruhan aset yang telah dilupuskan setakat tahun ini berjumlah AS$11.3 bilion. – Agensi