Kim Jong Un bersalaman dengan Vladimir Putin ketika kedua pemimpin itu bertemu di Vladivostok. foto Agensi

SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mendakwa Amerika Syarikat bertindak dalam “kepercayaan buruk” semasa sidang kemuncak awal tahun ini.

Sidang kemuncak antara pemimpin tertinggi Korea Utara itu diadakan bersama Presiden Donald Trump.

Central News Agency Korea yang memetik Kim melaporkan keamanan di Semenanjung Korea bergantung sepenuhnya kepada Washington.

Kim membuat kenyataannya pada sidang kemuncak dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Vladivostok.

Malah, katanya, Presiden Putin menerima undangan untuk melawat Korea Utara dan lawatan itu akan berlangsung “pada masa yang sesuai”.

Kim dilaporkan memberitahu Putin bahawa “keadaan di Semenanjung Korea dan rantau ini kini terhenti dan telah mencapai titik kritikal”.

Beliau juga memberi amaran situasi mungkin kembali kepada asalnya ekoran tindakan sikap kepercayaan buruk Amerika Syarikat semasa sidang kemuncak itu.

Kenyataan itu dibuat selepas seminggu Pyongyang menuduh Amerika Syarikat memanjangkan perbincangan pendamaian.

Rundingan antara Washington dan Pyongyang gagal semasa sidang kemuncak di Hanoi dengan tanpa mencapai sebarang perjanjian berhubung senjata nuklear.

Perbincangan didakwa terhenti selepas Korea Utara didakwa menuntut pelepasan sepenuhnya sekatan ekonomi dengan komitmen penghapusan nuklear tetapi Amerika Syarikat tidak dapat berbuat demikian.

Semasa sidang kemuncak di Vladivostok, Presiden Putin cuba bertindak sebagai pengadil, mengatakan bahawa Kim memerlukan jaminan keselamatan antarabangsa jika dia akan menamatkan program nuklearnya. – MalaysiaGazette