Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – DAP dinasihat supaya menegur serta mendidik senator di bawah parti itu tentang Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan dan perpaduan kaum di negara ini.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ahli senator mungkin perlu belajar bagaimana untuk memperhalusi kata-kata mereka agar tidak menimbulkan prasangka buruk terhadap Pakatan Harapan (PH).

“Hak perlembagaan tidak boleh dipolitikkan. Inilah sikap tidak bertanggungjawab seorang  senator yang kurang peka akan hak perlembagaan yang sudah termaktub sekian lama.

“Tidak boleh dijadikan alasan bahawa beliau bukannya dari latar belakang ahli politik dan menganggap kata-katanya telah disalah tafsir. Nga Hock Cheh adalah seorang peguam, maka cadangan pengguguran agama di dalam kad pengenalan adalah berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farhash Wafa merujuk kepada kenyataan senator Perak, Nga Hock Cheh yang meminta agar kerajaan menggugurkan identiti bangsa dalam kad pengenalan dengan alasan agar rakyat negara ini lebih mementingkan perpaduan.

Malah, beliau turut berkata cadangan untuk membuka sebuah kedutaan di Israel juga memperlihatkan karektor Hock Cheh sebagai seseorang yang kurang ilmu tentang dasar pentadbiran negara.

“Isunya bukan saja pada pendirian kerajaan mengutuk kezaliman negara Israel, malah Malaysia tidak pernah mengiktiraf pembentukan negara Israel.

“Oleh sebab itu kita tidak ada hubungan diplomatik dengan mereka. Jadi adalah lemah dari segi pemikiran beliau,” katanya lagi.

Perkara itu bangkitkan Hock Cheh dalam sidang Dewan Negara, Khamis lalu. – MalaysiaGazette