Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengakui kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah membincangkan untuk memeterai perjanjian Statut Rom pada 2011.

Namun bekas Perdana Menteri itu berkata, ratifikasi perjanjian tersebut tidak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.

“Saya tak nafi bahawa kerajaan BN semasa saya PM pernah berbincang Statut Rom.

“Memang tugas sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk berbincang dan mempertimbangkan konvenyen PBB (UN).

“Namun, mengapa perbincangan kerajaan BN pada bulan Mac 2011 masih tidak diratifikasi tujuh tahun kemudian sehingga PRU14? Tentu ada sebabnya.

“Ini ialah kerana kerajaan BN mendengar dan menerima nasihat dari peguam negara pada masa itu bahawa ianya ada kemungkinan akan bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara,” kata Najib pada hantaran di Facebook hari ini.

Peguam negara pada ketika itu ialah Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Najib mengulas kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas yang berkata, kerajaan BN sebelum ini yang bersetuju untuk memeterai Statut Rom tetapi kini menyerang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas bersetuju menandatanganinya pada 4 Mac lalu.

Najib berkata, pendekatan BN adalah berbeza dengan pentadbiran PH.

“Berbeza dengan zaman PH. Kerajaan BN tak pernah umum kepada satu dunia bahawa kita akan meratifikasi Statut Rom. Selepas itu, kena (buat) pusingan-U,” kata Najib.

Pada 5 April Malaysia memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.

Jelas Perdana Menteri, bantahan itu berlaku kerana mereka tidak memahami isi kandungan statut berkenaan sehingga bertindak memburukkan kerajaan dan diri beliau.
– MalaysiaGazette