STOCKHOLM – Syarikat penerbangan Scandinavian, SAS membatalkan lebih daripada 1,200 penerbangan bagi hari Isnin dan Selasa berikutan tunjuk perasaan yang dilakukan oleh juruterbang.

Tunjuk perasaan itu telah menganggu jadual pengembaraan beratus ribu penumpang selepas ia berlarutan hingga hari Ahad – hari ketiga mogok berlaku.

Juruterbang SAS mengadakan tunjuk perasaan selepas rundingan kenaikan gaji gagal mengakibatkan 70 peratus pesawat tidak beroperasi, menjejaskan 280,000 orang penumpang.

“Kami kecewa apabila para penumpang terjejas ekoran tunjuk perasaan oleh juruterbang masih berjalan. SAS terpaksa membatalkan penerbangan pada hari Isnin dan Selasa.

“Tunjuk perasaan itu akan menjejaskan 61,000 penumpang lagi pada hari Isnin apabila 667 pesawat dibatalkan merentasi Scandinavia. Pada hari Selasa pula membabitkan 49,000 penumpang dan 546 penerbangan berlepas terjejas,” kata SAS dalam satu kenyataan.

Kebuntuan dalam pertikaian itu tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian apabila kesatuan juruterbang Sweden dan Denmark dan persatuan majikan Norway, NHO mengatakan tiada yang telah diperbaharui antara pihak-pihak terlibat.

SAS yang diwujudkan selepas Perang Dunia kedua yang masih dimiliki sebahagian oleh kerajaan Sweden dan Denmark, mengatakan ia bersedia untuk kembali ke rundingan tetapi memberi amaran bahawa syarikat itu akan menghadapi masalah jika bersetuju dengan tuntutan juruterbang.

Badan majikan industri penerbangan di Sweden itu berkata, juruterbang menuntut kenaikan upah 13 peratus yang didakwa sangat melampau kerana gaji purata tertinggi juruterbang adalah sebanyak 93,000 crowns Sweden (AS$ 9,777) sebulan.

SAS Pilot Group, sebuah badan kesatuan yang mewakili 95 peratus juruterbang syarikat penerbangan itu di Denmark, Norway dan Sweden, mengatakan pertikaian tersebut lebih daripada gaji kerana pihaknya juga menuntut waktu pekerja yang dijangkakan. – MalaysiaGazette