Pemain Perak meraikan gol ketika bertemu pasukan PKNP pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi.

KUALA LUMPUR – Perak akhirnya kembali ‘bernafsu’ untuk menamatkan episod suram saingan Liga Super, selepas meraih kemenangan pertama dalam tempoh lebih satu bulan dengan membelasah pasukan ‘adik’, PKNP FC 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Skuad kendalian ketua jurulatih Mehmet Durakovic itu sebelum ini hanya mengutip empat mata, dalam lima aksi liga sejak mengatasi pendatang baharu, PJ City FC 1-0 awal Mac lepas.

Turun dengan status ‘abang’, Perak bermula garang apabila menyumbat gol pertama seawal minit ke-13, menerusi bekas pemain kebangsaan Brendan Gan sebelum pemain import, Gilmar da Silva memastikan Perak selesa mendahului pada babak pertama dengan mencatatkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-30.

Babak kedua menyaksikan PKNP FC terus hilang arah, dan Perak bijak menghidu peluang itu untuk meledak dua gol masing-masing dijaringkan kapten, Shahrul Mohd Saad pada minit ke-56 dan Gilmar pada minit ke-86 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya di Manjung.

Perak mengumpul 13 mata di kedudukan kelapan sekali gus menyaksikan mereka menjarakkan diri daripada zon penyingkiran, dengan dipisahkan hanya empat mata daripada Felda United yang menduduki tempat ke-10 dengan lapan mata.

Pada masa sama, dua gol bekas pemain kebangsaan Liberia, membantu PKNS FC mengatasi Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Shah Alam.

Pemain import dari Colombia, Romel Morales meledak gol pertama skuad tuan rumah, sebaik 20 saat permainan bermula, menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti sebelum Kpah Sherman menggandakan jaringan pada minit ke-30.

Kuala Lumpur, bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan kapten, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-41, namun Kpah Sherman menyumbat gol ketiga PKNS FC pada minit-78, sebelum skuad ‘The City Boys’ menjaringkan gol kedua malam ini, menerusi Guilherme de Paula pada minit ke-81.

Terenggau FC turut meraih tiga mata penuh, selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Walaupun tuan rumah berjaya mendahuli pada minit ke-36, melalui pemain pertahanan P.Rajes, namun jaringan sendiri B.Tinagaran pada minit ke-67 dan diikuti gol Tchetche Kipre pada minit-79 memberikan pasukan pelawat mata penuh.

Sementara itu, aksi Liga Premier menyaksikan Universiti Teknologi Mara FC (UiTM FC), membelasah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 5-0 di laman sendiri.

Pemain import Zarko Korac meledak hatrik hasil gol pada minit ke-30, 54’ dan minit ke-55, sementara Syed Ariff Syed Mohammad Uzir dan Robert Waly Lopez Mendy masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-22 dan minit ke-50.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pula menyaksikan gol Bruno Zuki seawal minit kedua, memadai untuk Terengganu FC II (TFC II) menewaskan Negeri Sembilan 1-0.

Dalam pada itu, gol tunggal pemain import dari Korea Selatan, Lee Changhoon pada minit ke-51, membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) meraih kemenangan kedua, musim ini selepas menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching. – MalaysiaGazette