Tan Sri Muhyiddin Yassin
JOHOR BAHRU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bermaksud hendak berdalih berhubung pelaksanaan manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-14.

Menegaskan demikian, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya sedar ramai rakyat mahukan manifesto itu ditunaikan namun tidak banyak dapat dibuat kerana sumber kewangan negara yang terhad.

“Kita tahu semuanya tetapi bagaimana upaya kita untuk melaksanakan kehendak rakyat itu jikalau keupayaan dan kemampuan kita terhad dan terbatas Ada orang kata, tidak payahlah nak salahkan Datuk Seri Najib bossku bossku (bekas Perdana Menteri), yang sudah lepas biarlah lepas tetapi ini adalah hakikatnya.

“Kita mewarisi satu kerajaan yang sudah hampir bankrap. Kita harus menggunakan sumber dana yang terbatas ini untuk menentukan apa yang harus diutamakan. Bukan nak mencari dalih untuk memberi jawapan kepada tuduhan-tuduhan itu (tuduhan berdolak dalih). Ini hakikat dan kenyataan,” katanya.

Menurut beliau, justeru itu adalah tidak adil sekiranya PH terutamanya Bersatu dianggap tidak berbuat apa-apa demi kesejahteraan rakyat sepanjang hampir setahun memerintah negara.

“Kalau nak katakan PH, Bersatu tidak berbuat apa-apa, tidak adil kerana terbaharu, langkah (usaha) yang dilakukan (kerajaan) ialah melibatkan wang besar yang terpaksa kita gunakan untuk Tabung Haji dan Felda.

“Itu satu bukti keupayaan kita untuk menyelesaikannya. Bukan kecil bilangannya. Wang itu mungkin boleh diguna untuk membuat skim-skim bantuan kebajikan dan lain-lain bagi kumpulan-kumpulan bawahan (rakyat bawahan).

“Tetapi oleh kerana ini (Tabung Haji, Felda) merupakan institusi yang mendokong perjuangan rakyat Malaysia terutama Melayu Islam maka kita harus berbuat sesuatu,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersantai Bersama Pemimpin sempena Pelancaran Buku “Bersatu Mulanya Di sini” di sebuah hotel di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Bersatu Johor merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.