Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bercakap pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di MOA, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JULAI 2018
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

PONTIAN – Proses pengambilalihan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas mengambil kira kesan perundangannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata ketika ini perbincangan masih lagi berlangsung di antara kementeriannya dan juga syarikat yang menyatakan minat terhadap projek itu.

“Setakat ini yang berminat tu, ada dua tiga (syarikat) tapi yang serius, satu.

“Kita akan kaji kesan dari segi perundangan kepada MOA. Sekiranya berjalan dengan lancar dan syarikat ini boleh memulangkan kembali hutang RM250 juta (pinjaman yang diberikan kerajaan kepada NFC sebelum ini) kepada MOA, jadi why not (setuju pengambilalihan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program “MYGREENTEAM”, projek kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) dan Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LLP Datuk Mazlan Alima; Ketua Pengarah LLP Azulita Salim; dan wakil Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Yusman Jamsir.

Sementara itu, ditanya sama ada satu daripada tiga syarikat yang berminat itu ialah syarikat milik kerajaan Johor iaitu Johor Corporation (JCorp), Salahuddin berkata beliau tidak boleh mendedahkannya sekarang.

Menyentuh isu lain, Salahuddin berkata pihaknya akan bermesyuarat bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 3 Mei ini untuk membincangkan tentang tanah Felda yang akan diusahakan bagi tanaman durian Musang King.

“Kedua-dua kementerian akan berbincang mengenainya kerana Datuk Seri Azmin Ali ialah menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda dan saya bertanggungjawab ke atas bidang pertanian.

“Bagi kami, industri ini bertumbuh dengan pesat sekali dan kita nampak Felda ada tanah ladang. Jadi kita akan kenal pasti tanah-tanah yang sesuai untuk penanamannya,” kata beliau.

— BERNAMA