Gelagat seorang peserta sepanduk yang tertera " Justice For Adib" pada Himpunan Justice 4Adib di Dataran Seni, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memberi ruang kepada prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim selesai sehingga ke peringkat dapat membuat keputusan punca kematian anggota bomba itu.

Sekiranya inkues itu pada akhirnya masih gagal membuat keputusan maka baharulah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan, demikian kata Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Tambah beliau, adalah tidak wajar mana-mana pihak membuat gesaan yang mungkin akan mengganggu prosiding inkues itu.

“Saya ingatkan gesaan itu sebab inkues seolah-olah tidak nampak penyelesaiannya. Tapi kita kena bagi ruang inkues tamat dan kesimpulan akan dibuat kemudian dibentangkan. Maka daripada situ kerajaan bolehlah mengambil pandangan sama ada perlu menubuhkan RCI atau tidak.

“Yang penting proses dah berjalan dah sudah dekat kepada penhujung mungkin lebih baik proses ini dibiarkan sehingga tamat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas gesaan Wira Perkasa Malaysia hari agar RCI ditubuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

NGO itu membuat gesaan menerusi memorandum yang dihantar ke Istana hari ini dengan berpendirian bahawa kematian Allahyarham Muhammad Adib perlu disiasat oleh RCI, bukan inkues di Mahkamah Koroner. – MalaysiaGazette