Menteri Industri Utama, Teresa Kok (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan (kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammin Kamruzaman (kanan) menunjukkan jenis-jenis minyak masak pada Majlis Pelancaran SAJI Sayangi Sawitku di Kompleks Felda Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2019.

SHAH ALAM – Menteri Industri Utama, Teresa Kok tidak mahu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat apabila menyentuh soal insurans kepada kenderaan yang menggunakan biodiesel B10 di negara ini.

Teresa berkata, sejak biodiesel diperkenalkan hingga kini, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai penggunaan bahan bakar itu memudaratkan enjin kenderaan dan tiada keperluan untuk memberi penekanan kepada insurans terbabit.

“Memang kita tidak mengumumkan sebarang insurans RM5 juta ini tapi sebenarnya selama ini tiada aduan disampaikan kepada pihak MPOB dan juga kementerian saya.

“Saya tidak mahu terlalu tekankan ada insurans itu atau apa-apa kerana nanti ada orang yang buat cerita.

“Kalau kita tekankan sangat, ini akan menimbulkan kebimbangan pengguna, sebenarnya tujuannya memang tiada masalah untuk menaikkan adunan minyak sawit dengan diesel kita,” katanya pada Majlis Perasmian Sajiku Sayangi Sawitku di Kompleks FGV Shah Alam, di sini, hari ini.

Teresa berkata, susulan penggunaan biodiesel B10 yang tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kenderaan yang menggunakan enjin diesel, beliau berharap bahan api baharu B20 dapat diperkenalkan di negara ini.

“Saya berharap negara kita ini akan menuju ke arah B20 seperti yang dilakukan di Indonesia supaya lebih banyak minyak sawit digunakan dalam negara kita.

“Dengan cara ini kita boleh menaikkan harga minyak sawit kita,” katanya.

Teresa turut mengakui bukan mudah untuk menggalakkan orang ramai tukar kepada biodiesel berasaskan sawit.

“Saya gunakan masa 4 bulan kerana ada banyak sesi perbincangan dan penerangan kepada banyak pihak syarikat dan persatuan berkaitan.

“Jadi ini memang tidak mudah bagi saya. Saya sebenarnya nak tekankan penggunaan biodiesel dengan adunan sawit dan diesel ini memang tidak ada masalah.

“Saya menyeru warga Malaysia menggunakan biodiesel supaya kita dapat kurangkan stok minyak sawit di negara kita, dalam membantu pengeluar dan penanam sawit kita,” katanya. – MalaysiaGazette