KUALA LUMPUR – Hujan dan angin kuat tidak menghalang seramai 1,400 penggemar sukan berbasikal dari dalam dan luar negara dalam TNB Janamanjung Fellowship Ride (TNB JMFR) edisi ke 12 baru-baru ini.

Ia melibatkan jarak 121 kilometer bermula dari dari Teluk Batik, Manjung di Perak kira-kira 7.15 pagi pada  Ahad lalu.

Malah, hujan berterusan hampir tiga jam terus mengiringi menyebabkan peserta basah kuyup dan mereka meneruskan kayuhan menuju pekan Parit dan Ayer Tawar yang memaparkan pemandangan Tanjung Belanja berhampiran Sungai Perak, sebelum kembali ke Teluk Batik.

WhatsApp Image 2019-04-30 at 12.07.51 PM

Edisi kali ini adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-20 kewujudan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung.

Ia menjadi lebih bermakna apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula bakal meraikan ulang tahun ke-70 pada 1 September ini.

“Semua peserta sama ada secara berkumpulan, anak beranak mahu pun individu begitu teruja dengan acara santai berbasikal ini dengan ada yang seawal 5.30 pagi sudah berada di tapak permulaan dan mengambil sekitar lima jam untuk menamatkan perlumbaan,” kata satu kenyataan TNB baru-baru ini.

WhatsApp Image 2019-04-30 at 12.07.52 PM

Para peserta penggemar aktiviti berbasikal daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan termuda berumur 13 tahun manakala paling berusia mencecah 70 tahun.

Terdapat juga dalam kalangan peserta itu orang kurang upaya seperti cacat penglihatan.

Para peserta dilepaskan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Noor Afifah Abdul Razak dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choi Kiong.

Hadir sama Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman; Ketua Pegawai Penjanaan TNB, Ir Roslan Abdul Rahman dan Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad.- MalaysiaGazette