Saksi yang juga Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk membenarkan saksi pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dipanggil semula memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata, ia demi memberi peluang kepada Ahmad Hafizam memberi penjelasan fakta yang telah diutarakan oleh saksi ke-29 yang dirujuk oleh peguam keluarga, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid.

“Saya bersetuju permohohan pegawai pengendali memanggil semula saksi ke-24 untuk memperjelaskan. Dia (Hafizam) harus diberi peluang memberi penjelasan. Dan saya mengenepikan keputusan koroner dalam menolak hal ini,” katanya.

Katanya, Mahkamah Koroner tidak harus mengenepikan suatu aspek tertentu sebelum membuat keputusan terhadap punca kematian allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada 17 Disember 2018.

“Bagi saya ini bukan sanggahan tapi perkara yang ketinggalan (untuk dijelaskan). Saya merasakan bahawa koroner tidak boleh meninggalkan satu keterangan lagi kerana adanya asas (keterangan itu nanti), (ia) memberi impak kuat kepada keputusan,” ujarnya.

Sebelum ini Koroner Rofiah Mohamad memutuskan untuk menolak permohonan pasukan pengendali inkues untuk memanggil semula Hafizam yang sebelum ini dikatakan demi membantu mahkamah.

Namun pasukan itu yang diketuai oleh Hamdan Hamzah membuat rayuan semakan keputusan koroner.

Hamdan hari ini dalam hujahnya berkata, wujud isu berbangkit melibatkan kesan lebam di dada kanan Muhammad Adib yang dibincangkan oleh Shahrom sebelum ini memerlukan penjelasan apabila ia didapati tidak tepat.

Namun peguam mewakili KPKT, bomba dan keluarga Adib, Syazlin Mansor menegakkan pendiriannya bahawa keputusan Mahkamah Koroner tidak patut dipertikai.

Sesi penghujahan bertukar tegang apabila Syazlin menegaskan tiada fakta baru namun sebaliknya saksi yang ingin dipanggil semula hanya mahu menyanggah teori yang telah dikemukakan oleh Shahrom yang mendapati kematian anggota bomba itu berpunca daripada perbuatan manusia bukannya kemalangan semata-mata.

“Ketika saksi 24 (Hafizam) memberikan keterangan, mereka pihak mewakili pihak berkepentingan bertanyakan merangkumi apa yang ditanya pada saksi-29 (Shahrom). Tiada fakta baru.

“Kedua-dua pakar ada pendapat masing-masing dan tidak akan berganjak dari pendapat masing-masing,” katanya terlebih dahulu kepada hakim.

Hakim kemudian menetapkan 10 Mei tarikh Hafizam dipanggil semula semula.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Muhammad Adib memaklumkan akan membuat rayuan terhadap keputusan terbaru Mahkamah Tinggi hari ini. – MalaysiaGazette