Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waythamoorthy. foto AFIQ RAZALI, 27 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pemuda MIC hari ini mempersoalkan peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy yang tidak membentangkan cadangan pada mesyuarat Kabinet untuk mengusir penceramah bebas, Dr. Zakir Naik dari Malaysia.

Ketua Biro Politiknya, Arvind Krishnan berkata, kini Waythamoorthy yang bertanggungjawab terhadap Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial mempunyai kuasa dan akses menteri boleh menggunakannya untuk menjalankan tanggungjawab kepada komuniti India.

“Apa yang berlaku kepada pemimpin Hindraf lama, Waythamoorthy yang suatu ketika cuba melaksanakan tanggungjawabnya kepada masyarakat India,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia dan ahli politik pembangkang bagi pihak masyarakat India beliau menuntut jawapan daripada menteri itu.

Kata Arvind, kes terbaru yang berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang mana seorang pendakwah bebas yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan ditahan pada Ahad lalu kerana didakwa menyebabkan ketidakharmonian.

“Sekali lagi Menteri Perpaduan berdiam diri,” katanya sambil mempersoalkan mengapa menteri berbangsa India yang lain turut tidak melakukan apa-apa mengenai perkara tersebut.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada cadangan untuk mengusir Dr Zakir dari Malaysia.

Di India, katanya, Dr. Zakir disiasat oleh Agensi Penyiasatan Nasional (NIA) berhubung beberapa dakwaan di bawah Kanun Keseksaan India dan Akta Pencegahan Aktiviti Menyalahi Undang-Undang (UAPA).

Beliau mendakwa, Dr. Zakir menghasut remaja menyertai aktiviti keganasan dengan memberi ceramah berbau kebencian dan mempromosikan permusuhan antara komuniti.

Katanya, adalah penting kerajaan Pakatan Harapan menerusi mana-mana empat orang menteri berbangsa India itu mencari penyelesaian Kabinet untuk mengusir dan mengekstradisikan Dr Zakir. – MalaysiaGazette