Teresa Kok
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berucap pada Majlis Pelancaran SAJI Sayangi Sawitku di Kompleks Felda Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2019.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya merujuk kepada minyak sawit merah apabila beliau menggesa rakyat Malaysia mengambil dua sudu minyak sawit sehari ketika Kempen Sayangi Sawitku 24 Mac lalu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, ada pihak tertentu cuba menimbulkan persepsi negatif apabila gesaan itu dibuat sedangkan Dr Mahathir merujuk kepada minyak sawit merah dan bukannya minyak sawit untuk masakan.

“Bila Perdana Menteri dalam pelancaran Kempen Sayangi Sawitku, beliau kata kita warga Malaysia satu hari satu sudu minyak sawit, ramai yang ketawakan kepada beliau, apa maksudnya.

“Sebenarnya beliau merujuk kepada minyak sawit merah, Red Palm Oil,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Saji Sayangi Sawitku di Kompleks FGV Shah Alam, di sini, hari ini.

Teresa Kok
Menteri Industri Utama, Teresa Kok (kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan (dua kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammin Kamruzaman (dua kanan) menunjukkan lori yang tertera logo ‘Sayangi Sawitku’ pada Majlis Pelancaran SAJI Sayangi Sawitku di Kompleks Felda Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2019.

Pada 24 Mac lalu, Kementerian Industri Utama melancarkan kempen Sayangi Sawitku di Banting, Selangor bagi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan minyak sawit tempatan yang berkhasiat berbanding minyak berasaskan soya yang diimport dari Eropah.

Pada majlis perasmian itu, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa minyak sawit tempatan bukan sahaja selamat diambil untuk masakan bahkan ia boleh diminum begitu sahaja.

Teresa juga melahirkan rasa kesal apabila golongan wanita lebih gemar membeli dan menggunakan minyak berasaskan soya untuk memasak berbanding minyak sawit tempatan.

“Makcik-makcik di Felda juga, bila pendapatan mereka tinggi pergi beli minyak masakan dari Eropah kerana dia tak tahu minyak sawit kita sebenarnya lebih bagus daripada minyak yang diimport dari Eropah,” luahnya.

Teresa berkata lagi, bagi membuktikan produk berasaskan minyak sawit selamat digunakan dalam masakan, kementerianya meneruskan kempen Sayangi Sawitku termasuk mempromosikan dalam kalangan Senator.

“Semalam saya ada di Dewan Negara kita buat booth lagi, kita bagi minyak sawit merah kepada semua ahli Senator bagi mereka cuba makan.

“Kita juga memperkenalkan santan sawit keluaran Felcra itu kepada mereka, buat cendol untuk mereka

“Ada di antara mereka ini ambil minyak ini, tengok minyak ini makan cendol ini kali pertama, ramai tidak tahu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette