NEW DELHI – Penari klasik Odissi India yang terkemuka dari Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim akan membuat persembahan di tujuh bandar di India pada Mei ini.
Persembahan pertama beliau dalam jelajah itu bermula di Bhubaneswar di negeri Odisha pada 4 Mei, disusuli persembahan di Kolkata, New Delhi, Mumbai, Pune dan Chennai.
Persembahan terakhir dalam jelajah “Odissi on High”, iaitu kerjasama antara Yayasan Sutra berpangkalan di Kuala Lumpur dan Yayasan Rudrakshya dari India, akan dipersembahkan di Bengaluru pada 17 Mei.
Musim Odissi mewujudkan pertukaran kebudayaan signifikan antara Malaysia-India, demikian menurut penganjur berkenaan.Sembilan orang dari Yayasan Sutra dan enam dari Rudrakshya terlibat dalam jelajah itu, kata Pengarah Yayasan Rudrakshya, Bichitrananda Swain kepada Bernama.
“Ramli amat popular di India dan ramai orang teruja mengenai jelajah ini,” katanya.Ramli, 65, telah mereka tari banyak persembahan yang meninggalkan kenangan hebat di Malaysia dan India sejak 41 tahun karier beliau.
Produksi beliau baru-baru ini yang dipersembahkan di India termasuk persembahan tarian Odissi Ganjam, yang diilhamkan daripada warisan kebudayaan daerah Ganjam, Odisha, dan “Amorous Delight”, sebuah kontemporari kerja Odissi yang diilhamkan daripada koleksi syair Sanskrit abad kesembilan, Amarushataka.
Kerajaan India menganugerahkan beliau Padma Shri, sebuah daripada anugerah tertinggi awam oleh kerajaan India, pada 2018 sebagai mengiktiraf peranan beliau memperkenalkan tarian tradisional India.Pada 2011, Ramli menerima Anugerah Akademi Sangeet Natak, yang paling berprestij di India.- BERNAMA