Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Seri Mazlan Lazim menerima cenderahati dari Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Dr. Suhaimi Ab Rahman pada Syarahan Awas Scammer Elak Penipu Online di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2019

SERDANG – Selama ini kita menganggap bahawa hanya orang awam sahaja yang menjadi mangsa sindiket scammer atau penipuan.

Bagaimanapun siapa sangka pegawai kanan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri pun nyaris menjadi mangsa penipuan sedemikian.

Insiden itu berlaku kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim semasa beliau menjawat pangkat Timbalan Ketua Polis Kelantan sekitar antara tahun 2013 hingga tahun 2015.

Beliau nyaris terjerat dalam penipuan menerusi panggilan seorang individu yang mendakwa merupakan kenalannya di negeri tersebut.

Kata Mazlan, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa kenalan lama yang pernah bekerja di bengkel membaiki kereta di Kelantan.

“Dia panggil aku menerusi telefon dan siap bertanyakan ‘Datuk kenal saya tak? Saya pernah bekerja di bengkel yang mana Datuk pernah hantar kereta Volkswagen hitam.

“Individu itu maklumkan beliau kini berada di Kemboja terlibat dalam perniagaan dan menghadapi masalah membeli tiket penerbangan pulang ke tanahair kerana kad keditnya disekat sebelum meminta saya meminjamkan wang.

“Saya ketika itu terdetik adakah saya jadi mangsa penipuan kerana syak wasangka itu terbukti apabila kenalan saya itu memberikan satu nombor akaun untuk memasukkan wang sebelum saya sedar dia cuba menipu,” katanya.

Beliau sebelum meminta bantuan seorang pegawai Bukit Aman menyiasat nombor akaun sebelum suspek ditangkap dan disahkan satu penipuan.

Beliau berkongsi cerita itu kepada kira-kira 100 orang penuntut dalam sesi Share Your Story @FEP Awas Scammer oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim di Dewan Philip Kotler, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Putra Malaysia petang tadi.

Beliau merupakan Alumni Fakulti Ekonomi UPM yang menamatkan pengajian pada tahun 1985.

Sementara itu, Mazlan turut berkongsi statistik mangsa penipuan scam melibatkan warga asing yang mana pelajar universiti berusia antara 20 hingga 40 tahun mangsa kedua tertinggi tertipu menerusi scam pembelian secara online iaitu 24 pelajar dan Macau Scam 17 orang.

Dalam statistik berkenaan orang bekerja swasta menjadi mangsa terginggi dalam kategori Scam Cinta (143) orang dan Macau Scam (275 orang).

Menurut beliau walaupun mangsa dalam kalangan pelajar tidak tinggi namun, mereka takut untuk keluar melaporkan insiden disebabkan takut maruah dan reputasi diri dan keluarga akan terjejas dan malu.

“Kita tak mahu ada dark figure nanti apabila dia tidak berani tampil buat laporan maka polis tidak akan memperolehi statistik lengkap melibatkan mangsa pelajar.

“Lagipun, mangsa dalam kalangan pelajar tak tinggi sebab pelajar kurang mempunyai wang tetapi kebanyakannya tertipu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun sebab masa ini mereka sedang mencuba untuk buat perniagaan baharu seperti MLM sebelum tertipu kerana tamak haloba mahu cepat kaya,” tegasnya.

Justeru tegasnya, statistik menunjukkan kerugian mangsa akibat Macau Scam meningkat empat kali ganda iaitu daripada RM13,033,437.49 ( 2017) kepada RM54, 874,178.65 (2018).

“Begitu juga penipuan pinjaman tidak wujud pula menyebabkan peningkatan kerugian daripada 2017- RM3,746,286.32 pada tahun 2017 kepada RM5,649258.64 (2018) atau 50.8 peratus peningkatan.

“Jangan panik jika anda menerima panggilan menyamar sebagai pegawai bank, mahkamah, BNM atau polis untuk cuba perdaya atau merasuk anda dan segera semak dengan polis dan buat laporan di balai polis berhampiran.

“Paling penting jangan memberikan sebarang nopmbor akaun atau kad pengena;lan anda kepada sesiapa yang menghubungi anda menerusi telefon atau Khidmat Pesanan Ringkas,” tegas beliau.-MalaysiaGazette