Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga buruh Malaysia meningkat 2.0 peratus kepada hampir 15.3 juta orang pada 2018 berbanding 15.0 juta orang pada 2017.

Peningkatan tenaga buruh ini disumbangkan oleh penduduk bekerja seramai 299,200 orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada 2018 meningkat 0.3 mata peratus kepada 68.3 peratus berbanding 68.0 peratus pada 2017. Ini bermakna, 31.7 peratus lagi penduduk dalam kumpulan umur bekerja berada di luar tenaga buruh.

Sementara itu, kadar pengangguran pada 2018 bertambah baik kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada 2017. Ini menunjukkan bahawa ekonomi negara masih dapat dikekalkan dalam keadaan guna tenaga penuh iaitu kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus.

KPTB perempuan naik 0.5 mata peratus kepada 55.2 peratus pada 2018. Penyertaan perempuan dalam pasaran buruh bagi kumpulan umur prime age iaitu 25–34 tahun (73.6%), 35–44 tahun (67.9%) dan 45–54 tahun (58.8%) adalah lebih tinggi berbanding KPTB perempuan di peringkat nasional1, katanya.

Sementara penyertaan tenaga buruh lelaki pula ialah 80.4 peratus pada 2018, meningkat 0.3 mata peratus berbanding tahun sebelumnya. KPTB kumpulan umur 15-24 tahun mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 1.2 mata peratus kepada 51.0 peratus.

Begitu juga kumpulan umur 35-44 tahun meningkat 0.3 mata peratus kepada 97.7 peratus.

Secara keseluruhannya, KPTB lelaki masih lebih tinggi berbanding perempuan bagi semua kumpulan umur.

Dalam pada itu, penduduk bekerja berpendidikan tertiari meningkat 0.5 mata peratus kepada 28.6 peratus pada tahun lalu berbanding 28.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Sebaliknya, penduduk bekerja dengan pendidikan rendah dan menengah masing-masing menyusut 0.4 mata peratus dan 0.2 mata peratus. – MalaysiaGazette