Jurgen Klopp

SEPANYOL – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp mengakui pasukannya akan bergelut dan menderita semasa berdepan Barcelona.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinannya berpeluang mencipta kejutan di Nou Camp awal pagi Rabu esok.

“Jika ditanya adakah pasukan kami sempurna, itu agak sukar. Apakah kami akan melakukan kesilapan..itu sangat pasti.

“100 peratus sudah tentu kami akan derita di sana,” kata pengurus warga Jerman itu.

Ditanya peluang Liverpool untuk melakukan sesuatu mendapatkan mata penting di Barcelona, Klopp menegaskan itu yang akan diusahakan pasukannya.

“Saya harap pemain kita mempamerkan aksi terbaik dan cuba menjaringkan gol menentang the Catalans,” katanya.

Barcelona dan Liverpool, kedua-duanya mempunyai rekod menjulang piala berprestij itu sebanyak lima kali.

Bagaimanapun misi Liverpool untuk melangkah ke perlawanan akhir seperti musim lalu dilihat sukar.

Barcelona tidak pernah kalah dalam 31 perlawanan ditempat sendiri di dalam saingan Liga Juara Juara Eropah setakat ini.

Ia akan menjadikan the Reds bimbingan Klopp bergelut dengan pasukan mantap Eropah tersebut, yang turut dibarisi bekas bintang Liverpool, Coutinho dijangka sebagai pemusnah kelab Inggeris itu.

“Keputusan seri bukan sesuatu yang buruk tetapi bukan itu yang kami hendak kali ini di sana (Nou Camp),” katanya.

Liverpool turut bersaing rapat untuk menamatkan badi 29 tahun tanpa Piala Liga perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester City kali ini.- MalaysiaGazette