Seorang kontraktor Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) yang diserang dengan sebilah pisau oleh seorang pengguna kerana ingin memotong bekalan air telah pun membuat laporan polis semalam.

SEREMBAN – Seorang kontraktor Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) yang diserang dengan sebilah pisau oleh seorang pengguna kerana ingin memotong bekalan air telah pun membuat laporan polis semalam.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail dalam kenyataan di sini, hari ini berkata tindakan pemotongan bekalan air itu merupakan kes sahih yang mana pengguna tersebut mempunyai tunggakan bayaran lebih daripada RM2,000.

“Pengguna itu juga sedia maklum berkenaan bil beliau yang tertunggak dan pernah diberikan peluang untuk bayaran secara ansuran oleh pihak SAINS. Melalui penyata akaun bil, pengguna tersebut merekodkan bayaran yang dibuat secara tidak secara konsisten pada setiap bulan dan ini menyebabkan bilnya tertunggak.

“Setiap bil SAINS yang dihantar kepada pengguna turut dinyatakan jumlah bil semasa dan bil tertunggak sedia ada untuk dijelaskan dengan kadar segera,” katanya.

SAINS katanya juga sedia memberikan makluman kepada pengguna melalui bil yang dihantar berkenaan tempoh bayaran yang perlu dijelaskan agar tidak berlaku pemotongan.

Semalam, tular di media sosial Facebook video yang memaparkan seorang kontraktor SAINS diserang dengan sebilah pisau kerana ingin memotong bekalan air pengguna tersebut.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.