KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak kecewa apabila syarikat digital milik Axiata Berhad (Axiata) dijual ketika perniagaan digital berpotensi pada masa depan.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau menyokong kuat semasa Axiata mahu menceburi perniagaan dan perkhidmatan digital pada tahun 2013, lalu wujudlah Axiata Digital.

Sejak itu, Axiata Digital melabur dan membina beberapa perniagaan digital yang sangat berpotensi.

Malangnya, kata Najib, Axiata Digital telah dijual kepada sebuah syarikat Singapura dengan nilai AS$140 juta (RM579 juta) semalam.

Sebelum itu, pada bulan Februari, Axiata menjual syarikat telekomunikasi M1 kepada Singapura dengan harga RM1.65bil.

Antara perniagaan digital yang dijual semalam ialah:
– www.StoreKing.in – platform perdagangan luar bandar terbesar India.
– www.11street.my – syarikat e-commerce popular di ASEAN.
– www.freedompop.com – syarikat perkhidmatan wayarles.
– bimamobile.com – syarikat insurans mikro global yang sudah bertapak di 13 negara dengan 31 juta pelanggan.
– track.etobee.com -Syarikat perkhidmatan e-logistik Indonesia.

“Tak pasal-pasal dijual pulak.selepas PH ambil alih kerajaan. Perniagaan-perniagaan digital ini berpotensi besar dan sedang berkembang dengan rancak.

“Oleh itu, amatlah sayang kerana telah mengambil masa dan usaha untuk membina perniagaan-perniagaan ini.

“Kini semua telah jual oleh kerajaan PH,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, Khazanah Nasional Berhad pernah mendapat untung sebanyak RM4 bilion hasil pelaburan dalam Alibaba pada tahun 2014.

“Ramai mungkin tidak tahu. Kita labur RM1 bilion dalam Alibaba.

“Kita dapat balik RM5 bilion. bila Alibaba disenaraikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette