Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu secara kontrak untuk tempoh selama dua tahun.

Abdul Hamid menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, yang akan bersara wajib esok.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan pelantikan itu atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu berkuatkuasa esok hingga 3 Mei 2021.

“Pelantikan secara kontrak selepas bersara Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 4 Mei ini hingga 3 Mei 2021.

“Ia dibuat di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hamid adalah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang juga bersara pada pertengahan Mac lalu.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad Fuzi di atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 4 September 2017.
– MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/01/abdul-hamid-bador-kpn-baharu/