LANGKAWI – Mayat seorang bayi yang tidak diketahui jantina ditemukan dalam keadaan berulat di tepi jalan Kampung Dato Syed Nahar, Mukim Kuah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat bayi yang diletakkan di dalam beg plastik sampah hitam oleh seorang penduduk kampung berkenaan kira-kira 9.05 pagi.
Kata beliau menurut keterangan saksi, beg plastik tersebut sudah berada di lokasi berkenaan sejak tiga atau empat hari lepas namun tidak dihiraukan kerana disangka mengandungi sampah sahaja.
“Pada tadi semasa keluar dari rumah, saksi terhidu bau busuk dari arah beg plastik tersebut. Saksi membuka plastik tersebut dan nampak objek berupa bayi dalam keadaan berulat penuh sebelum memaklumkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan terhadap beg plastik hitam tersebut didapati ada satu mayat bayi. Jantina, umur dan identiti lain mayat tidak dapat dipastikan kerana keadaan berulat penuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Iqbal berkata semasa penemuan mayat bayi tersebut, tiada sebarang identiti lain dijumpai berhampiran mayat itu.
“Jabatan Forensik Hospital Langkawi telah dimaklumkan dan bedah siasat akan dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar esok,” katanya.- BERNAMA