Bijan Zanganeh. foto Reuters

GENEVA – Menteri Minyak Iran berkata, sekatan minyak ke atas negara itu oleh Amerika Syarikat merupakan ‘senjata’ untuk menjejaskan OPEC.

Harga minyak dunia melonjak ke paras tertinggi sejak November beberapa hari selepas Washington membuat kenyataan untuk menarik semula semua pengecualian yang diberikan kepada pengimportan minyak Iran,

Kenyataan itu telah memberi tekanan kepada para pengimport untuk berhenti membeli minyak dari padaTehran, mengakibatkan bekalan global semakin ketat.

Venezuela juga merupakan ahli OPEC yang tertakluk dengan sekatan Amerika Syarikat bagi eksport minyaknya untuk memberi tekanan kepada politik dan perubahan ekonomi.

“Mereka yang menggunakan minyak sebagai senjata bagi menentang dua ahli OPEC hanya mahu menganggu penyatuan OPEC dan menyebabkan ‘kematian dan keruntuhan’ OPEC dan tanggungjawab itu perlu dipikul oleh mereka,” kata Bijan Zanganeh ketika berucap di persidangan minyak dan gas di Tehran.

Amerika Syarikat menuntut pembeli-pembeli minyak Iran supaya berhenti membeli minyak dari negara itu mulai 1 Mei atau diancam dikenakan tindakan.

Keputusan Washington itu mengakhiri pengecualian enam bulan yang diberikan olehnya kepada lapan pembeli besar Iran – kebanyakan dari Asia tetapi dengan jumlah terhad.

Pasaran minyak telah semakin ketat pada tahun ini disebabkan pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan White House pula berkata, selepas Iran dikenakan sekatan, ia akan bekerjasama dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu untuk memastikan bekalan mencukupi.

Amerika tidak dapat, bagaimanapun, mampu mensifarkan minyak Iran dan negara-negara jiran Republik Islam pula membesar-besarkan tuntutan keupayaan pengeluaran minyak mereka yang boleh menampung sebarang kekurangan, kata Zanganeh, menurut agensi berita Mehr.

Bagaimanapun, Iran tidak akan meninggalkan OPEC, kata Masoud Karbasian, Ketua Eksekutif Syarikat Minyak Iran Kebangsaan (NIOC), menurut SHANA.

Iran sedang mengkaji cara-cara baharu untuk menjual minyaknya, kata Zanganeh, menurut Badan Berita Republik Islam (IRNA) tetapi tidak memberikan butiran.

Industri minyak Iran sedang bertahan terhadap tekanan daripada sekatan Amerika Syarikat, kata Ahmad Mohammadi, Ketua National Oil South Company (NISOC), menurut SHANA.

NISOC kini mengeluarkan 3.5 juta tong minyak setiap hari dan terdapat rancangan untuk meningkatkan itu dengan kira-kira 600,0000 tong sehari, kata Mohammadi.

Secara berasingan, Zanganeh berkata, pengeluaran gas Iran akan sekitar 1,000 juta meter padu (mcm) tahun kalendar ini, kementerian minyak melaporkan pada akaun Twitternya.

Namun, ia tidak dijelaskan sama ada Zanganeh merujuk tahun 2019 atau tahun kalendar Iran yang berakhir pada Mac 2020. – MalaysiaGazette