Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anifah Aman tidak menandatangani instrumen penyertaan Statut Rom pada tahun 2011 selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara ketika itu yang tidak bersetuju Malaysia menyertai perjanjian tersebut.

Itu tegas bekas menteri luar negara itu dan menyatakan kabinet ketika itu ada mengkaji semula isu tersebut (penyertaan Statut Rom) pada tahun 2015 dan memutuskan untuk Malaysia menyertai Statut Rom dan Peguam Negara pula diarahkan menyediakan dokumen-dokumen yang akan dibentangkan kepada kabinet.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Peguam Negara tidak pernah menyediakan dokumen-dokumen tersebut untuk kabinet.

“Sehubungan itu, dakwaan Noor Farida Mohd Ariffin yang mendakwa saya tidak menandatangani instrumen penyertaan Statut Rom pada bulan Mac 2011 adalah gambaran yang salah dan tidak tepat pada keseluruhan keadaan itu,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah mengulas kenyataan Noor Farida yang mendakwa beliau enggan menandatangani Statut Rom.

Jelas Anifah lagi, walaupun semasa tempoh tertentu Noor Farida telah mencadangkan agar Malaysia bersetuju dengan Statut Rom namun ia jelas ada perkara-perkara yang tidak jelas perlu ditangani seperti kebimbangan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara yang secara sah salah satu adalah pihak berkuasa tertinggi.

Kebimbangan ini perlu ditangani, sebab itulah kami menunggu kertas daripada Jabatan Peguam Negara untuk dikemukakan kepada kabinet, katanya.

“Apabila menandatangani sebarang statut atau apa-apa yang mewakili negara, saya selalunya sangat berhati-hati kerana kesilapan boleh menyebabkan kesan negatif di dalam dan di luar negara.

“Patutkah saya hanya mendengar pandangan Noor Farida sahaja atau menolak kebimbangan Jabatan Peguam Negara? Saya perlu menjadi berhati-hati kerana bertangggungjawab kepada rakyat dan negara saya dan tidak menolak kebimbangan Jabatan Peguam Negara,” ujarnya lagi.

Selain itu, Noor Farida yang sudah menjadi pegawai kanan pada masa itu harus tahu apabila ia berkaitan dengan instrumen undang-undang, kerajaan akan mengikut nasihat Pejabat Peguam Negara dan dalam hal ini timbul masalah yang memerlukan perhatian.

“Noor Farida bercakap seolah-olah saya hanya perlu mendengarnya dan menolak pandangan semua orang terutama Peguam Negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan dan kabinet Pakatan Harapan sepatutnya mengambil lebih banyak masa menjelaskan isu kepada rakyat sebelum membuat sebarang keputusan untuk menyertai perjanjian Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu. – MalaysiaGazette