Teresa Kok

SINGAPURA – Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim hari ini melahirkan kekecewaan berikutan sentimen negatif terhadap minyak sawit yang turut berlaku di Singapura.

Sebagai contoh, beliau berkata Zoo Singapura telah beberapa kali mensensasikan isu minyak sawit dan penebangan hutan di kawasan habitat orang utan.

Menurutnya tindakan itu mencemarkan imej negara pengeluar minyak sawit di rantau ini di sebalik usaha progresif ke arah kemampanan dan pemuliharaan hidupan liar.

“Dalam hal ini, Zoo Singapura bertindak terburu-buru, sekali gus mempengaruhi emosi kebanyakan pengunjung yang kurang kesedaran mengenai hal itu,” katanya dalam ucap tama bertajuk “Menghubungkan Pasaran, Membentuk Konsensus: Perkongsian bagi Kemampanan Minyak Sawit” semasa Dialog Singapura ke-enam mengenai Kelestarian Sumber Dunia, di sini hari ini.

“Sehubungan itu, demi kepentingan perpaduan ASEAN, kita harus memberi sokongan antara satu sama lain terutamanya jika perkara itu adalah berasaskan fakta dan digambarkan secara telus,” kata Kok.

— BERNAMA