Ketua Polis Daerah Tampin Supt Ramli Kasa berkata kedua-dua pelajar tersebut ditemui bapa seorang daripada pelajar itu kira-kira pukul 1 pagi di sebuah pusat komputer di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Jinjang.

SEREMBAN – Dua daripada tiga pelajar yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat tahfiz di Kampung Seri Repah, Tampin pada 24 April lepas, ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Ramli Kasa berkata kedua-dua pelajar tersebut ditemui bapa seorang daripada pelajar itu kira-kira pukul 1 pagi di sebuah pusat komputer di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Jinjang.

“Pengadu telah bertemu dengan anak lelakinya berumur 13 tahun dan rakan anaknya berusia 14 tahun, di Pusat Komputer Taman Koperasi Polis Fasa 2, Jinjang dalam keadaan selamat sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tasik Kesuma, Selangor,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua pelajar mengaku melarikan diri bersama seorang lagi rakan mereka berumur 13 tahun, akibat malu dituduh bersubahat dengan seorang pelajar yang telah dibuang sekolah kerana membawa telefon bimbit ke pusat tahfiz itu.

Ramli berkata ketiga-tiga pelajar itu melarikan diri melalui pintu belakang pusat tahfiz berkenaan dengan berjalan kaki sehingga KTM Pulau Sebang pada 24 April lepas dan menukar perjalanan dengan menaiki komuter ke stesen KL Sentral sebelum menuju ke Damansara Damai, Selangor menggunakan Transit Aliran Massa (MRT).

Katanya rakaman percakapan semua pelajar yang hilang telah diambil dan kes dianggap selesai.

Media pada 28 April lepas melaporkan tiga pelajar tahfiz dilaporkan hilang dari kelas pengajian mereka di sebuah pusat tahfiz dan dikatakan merancang untuk mencari kerja di Kuala Lumpur.

— BERNAMA