Amal Hamad

RAMALLAH – Israel telah menghalang seorang menteri Palestin menghadiri persidangan wanita di Jordan.

Menteri Hal Ehwal Wanita dalam kerajaan yang berpangkalan di Ramallah, Amal Hamad dijadual berucap pada persidangan Pemantauan Hak Asasi Manusia Euro Mediterranean yang bermula semalam.

Pertubuhan yang berpangkalan di Geneva itu melancarkan kempen menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di Timur Tengah.

Hamad mengangkat sumpah sebagai menteri kerajaan baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh pada bulan lepas dan kunjungan itu merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara sebagai menteri.

Bagaimanapun, sebelum Hamad boleh pergi ke Amman, Pentadbiran Awam Palestin yang menyelaras lawatan untuk para pegawai Palestin dengan Israel di Tebing Barat memaklumkan kepada beliau bahawa pihak berkuasa itu tidak mengeluarkan permit perjalanan, katanya kepada Middle East Eye (MEE).

“Tidak membenarkan saya pergi adalah bertentangan dengan penjanjian antara pihak berkuasa Palestin dan Israel dan bertentangan dengan semua penjanjian antarabangsa yang melindungi hak perjalanan dan kebebasan pergerakan,” katanya.

Hamad memberitahu MEE bahawa Israel tidak mengendahkan imuniti diplomatik para pegawai dan menteri Palestin.

“Kami akan terus menyertai persidangan antarabangsa untuk menyatakan keengganan kami terhadap ‘Deal of the century’ (Perjanjian abad ini) dan mengesahkan penyelesaian dua negara dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara Palestin,” kata Hamad.

Semalam menteri itu menyampaikan ucapannya pada persidangan tersebut menerusi video dengan memberitahu peserta bahawa larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya adalah bukti wanita dan penduduk Palestin telah menderita daripada keganasan pencerobohan yang dilakukan’.

Israel enggan mengeluarkan permit perjalanan kepada Hamad berikutan pertikaian antara pihak berkuasa Palestin dan Israel mengenai perolehan cukai.

Israel mengutip cukai kira-kira AS$175 juta setiap bulan bagi pihak berkuasa Palestin terhadap import dan eksport yang dilakukan Palestin namun pada Februari lalu, Palestin berkata ia akan mula mengurangkannya kira-kira AS$11.5 juta daripada jumlah cukai yang dikutip itu.

Israel berkata, angka tersebut sama dengan bayaran bulanan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Palestin kepada banduan politik Palestin yang dipenjarakan di Israel selain keluarga banduan serta keluarga mereka yang dibunuh Israel.

Bagaimanapun, Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, negaranya ‘tidak akan menerima sebarang wang daripada Israel jika ia tidak lengkap’. – Agensi