Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sarawak tidak seharusnya mempertikaikan pemberian RM183 juta untuk daerah Sandakan bagi tahun 2019.

Ini kerana, negeri Sarawak mendapat peruntukkan sebanyak RM4.3 bilion pada tahun ini, lebih banyak berbanding Bajet 2018 di bawah Barisan Nasional.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, di samping itu, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM600 pada awal tahun 2019 dan akhir tahun 2018 telah diberikan kepada 275,000 pekebun kecil getah di Malaysia dengan 58,000 penerima di Sarawak berbanding dengan hanya 6,000 di Sabah.

Pengumuman baru-baru ini berhubung tambahan untuk BMT, adalah bertujuan merangkumi 70,000 pekebun kecil getah di Sabah yang tercicir daripada pemberian yang dibuat sebelum ini.

Guan Eng membuat kenyataan tersebut selepas Kerajaan negeri Sarawak mendakwa Kerajaan Persekutuan telah mengabaikan negeri itu daripada segi pembangunan infrastruktur berikutan 49 projek dilaksanakan di daerah Sandakan bernilai RM2.28 bilion.

Menteri kewangan itu menyifatkan dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasaskan fakta.

Jelasnya, memang benar terdapat 49 projek pembangunan yang diluluskan di daerah Sandakan untuk tempoh lima tahun dengan
kos keseluruhan sebanyak RM2.28 bilion dan peruntukan pembangunan untuk tahun 2019 sebanyak RM183 juta.

Pada masa yang sama, terdapat lebih daripada 550 projek pembangunan di seluruh negeri Sarawak dengan kos keseluruhan mencecah RM41 bilion.

Peruntukan pembangunan untuk tahun 2019 sahaja bagi projek di Sarawak adalah RM4.3 bilion, iaitu merupakan peruntukan kedua terbesar antara negeri di Malaysia selepas negeri Sabah.

Bagi 2019, Sabah diperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5.0 bilion untuk projek-projek, dengan kos keseluruhan sebanyak RM42 bilion, tambahnya.

Peruntukan kepada kedua-dua negeri ini tidak mengambil kira projek seperti Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman di peringkat Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette