Saifuddin Nasution Ismail

SEREMBAN – Laporan akhir kajian rantaian bekalan terhadap 10 jenis barang ‘popular’, dijangka diperoleh Julai ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, laporan kajian bagi mengenal pasti peringkat berlakunya kenaikan harga barang sama ada pada peringkat pengimport, pengeluar, peladang, pemborong, pengedar atau peruncit akan dibentang kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Laporan ini kita nak lihat di mana berlakunya kenaikan dalam rantaian, siapa yang naikkan harga dan disebabkan apa, adakah disebabkan upah, pengangkutan, bil atau gaji.

“Alhamdulillah dalam masa dua bulan untuk selesaikan kajian awal ini kita sudah semak 10 jenis barang dan mendapati memang ada kenaikan tidak masuk akal… kita tahu ia berlaku pada tahap mana, kita tahu berapa margin keuntungan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Jualan Pengguna-Beli Barangan Malaysia di Seremban, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Saifuddin, bagaimanapun enggan mendedahkan jenis barangan tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat keperluan laporan itu dimaklumkan kepada masyarakat.

Media baru-baru ini menyebut laporan awal kajian rantaian bekalan 10 barangan terpilih mendapati wujud kegiatan ‘kartel’ yang mengaut keuntungan pada kadar terlalu tinggi sehingga mencecah 133 peratus. – MalaysiaGazette