Datuk Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii mendakwa beliau menjadi saksi bagaimana Raja-Raja Melayu dihina oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam sebuah forum di sini, Sabtu lalu.

“Saya berada dalam Forum Awam dan Statut Rom pada Sabtu lepas, saya saksikan sendiri bagaimana Agong dan sultan kita dihina oleh pemimpin-pemimpin PH.

“Sebab itu saya jalan (ceramah) satu Malaysia sebab nak beri penerangan betapa bahayanya Statut Rom ini yang akhirnya akan mengheret sultan-sultan kita, pemimpin-pemimpin kita dengan tidak adil.

“Saya seru agar semua bantah Statut Rom,” katanya berucap pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) di pekarangan Sogo, di sini, hari ini.

MGF040519_HIMPUNAN PERTAHAN KEDAULATAN30
Sebahagian peserta berarak dengan membawa spanduk sempena Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Pembela Ummah di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2019

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya; Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii dan Pengarah Himpunan 405, Kamaruzaman Mohamad.

Pada 27 April lalu, suasana di Auditorium Tun Mohamed Suffian, UM di sini menjadi tegang seketika pada sesi soal jawab forum apabila ahli politik veteran, Syed Husin Ali mendakwa golongan Raja-Raja Melayu telah merompak wang rakyat.

Ucapan bekas Timbalan Presiden PKR itu mendapat tepukan dan sorakan daripada para hadirin yang seolah-olah bersetuju dengan dakwaan tersebut.

Razlan juga mendakwa Forum Statut Rom itu antara gerakan halus yang sedang digerakkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dan pemimpin liberal untuk memastikan rakyat menerima perjanjian itu.

“Hari ini Tommy Thomas, Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi dan semua yang berfikiran liberal bergerak satu Malaysia beri penerangan agar rakyat Malaysia boleh terima Statut Rom,” katanya lagi. – MalaysiaGazette