Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda

KUALA LUMPUR – Seluruh penjawat awam akan merasa kecewa jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pasukan Polis kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata, ini kerana pemberian kuasa kepada IPCMC akan membuka peluang dan ruang yang sama ke atas suruhanjaya-suruhanjaya kementerian lain pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Suruhanjaya Pasukan Polis sudah memadai untuk memantau Polis Diraja Malaysia tanpa perlu IPCMC yang langsung tidak memiliki nilai-nilai kepolisian.

Sebaliknya, kewujudan IPCMC ini akan hanya mewujudkan prasangka dan ketidakpercayaan terhadap polis.

“Sejak dahulu sehingga kini Suruhanjaya Pasukan Polis menjalankan peranan dan tanggungjawabnya, mengapa perlu IPCMC.

“Orang atau pihak luar boleh memberi pandangan terhadap Suruhanjaya Pasukan Polis tetapi bukan mengambil alih dengan penubuhan IPCMC,” katanya ketika menyuarakan pandangan CUEPACS terhadap penubuhan IPCMC.

Azih berkata, setiap suruhanjaya yang ditubuhkan dalam kementerian atau agensi kerajaan termasuk PDRM tertakluk kepada peraturan-peraturan penjawat awam dan ia sudah memadai.

Tidak perlu badan luar lain untuk menguasai suruhanjaya yang diwujudkan oleh kerajaan, tegasnya.

Beliau mengakui tekanan terhadap penubuhan IPCMC ini telah menyebabkan mood penjawat awam ‘berputar’ 360 darjah kerana sebahagian besar beranggapan ia sebagai ‘luar biasa yang keterlaluan’.

“Kerajaan Pakatan Harapan jangan kecewakan penjawat awam dengan perkara-perkara sebegini,” ujar Azih sambil meminta kerajaan mengekalkan apa yang ada tetapi memperkasakan prosedur melalui pelaksanaan mekanisme baharu.

Baru-baru ini Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan berhubung cadangan memberi kuasa kepada IPCMC.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, terdapat pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju terhadap cadangan tersebut.

Beliau bersedia bertemu PDRM) bagi mendengar pandangan mereka berhubung perkara tersebut.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu PDRM akan mengatur pertemuan dengan Dr Mahathir bagi menyampaikan bantahan terhadap hasrat untuk memberi kuasa kepada IPCMC bagi menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang dan bukan sekadar memberi syor tatatertib.

Mohamad Fuzi berkata, isu tersebut menarik perhatian lebih 145,000 warga PDRM sama ada yang masih atau sudah tamat berkhidmat.

Kelmarin, Menteri Dakam Negeri berkata, IPCMC bukan untuk menghukum anggota polis.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan IPCMC itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan pihak polis. – MalaysiaGazette