Lim Guan Eng

SHAH ALAM – DAP mengambil pendirian untuk menunggu masa yang sesuai bagi membuat pertemuan dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan bahawa parti itu kononnya menentang Islam.

Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP berkata satu pertemuan dengan Dr Asri harus dibuat agar keadaan tidak menjadi keruh di masa akan datang.

“Kita kena hormat masanya kerana beliau sibuk dan saya yakin bila beliau boleh luangkan masa, kita akan dapat berjumpa.

“Saya rasa itu perkara baik dan beliau pun sebut itu bukan seperti dinyatakan. Tapi itulah, mari kita bincang, itu tak jadi masalah,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan DAP ke 50 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.

Guan Eng diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang mengajak Dr Asri untuk sesi pertemuan untuk membincangkan isu berkenaan dan keraguan yang timbul.

Justeru itu, Guan Eng berkata jalan terbaik adalah kedua-dua mereka mengadakan pertemuan dan membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam.

“Saya rasa tiada masalah untuk kita bincang atau bermusyawarah. Jadi saya rasa, bincang atau dialog adalah satu perkara yang baik,” katanya.

Sim berkata DAP sentiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan sedia untuk menerima teguran.

Terdahulu Dr Asri dikatakan membuat kenyataan wujudnya persepsi kerajaan PH gagal mempertahankan Islam disebabkan pemimpin DAP gagal mengawal diri daripada membuat kenyataan yang menimbulkan tanggapan sebegitu.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata apa-apa tindakan terhadap penceramah bebas, Dr Zakir Naik susulan pertuduhan pengubahan wang haram, beliau berkata kerajaan harus menunggu laporan pertuduhan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Saya rasa kita perlu dapatkan laporan daripada agensi berkaitan terlebih dahulu.

“Apabila bercakap tentang pertuduhan ini, elok kita tengok dulu laporan-laporan yang ada. Saya tidak boleh komen kerana bukan di bawah kementerian saya,” katanya lagi.

Guan Eng diminta mengulas samada parti itu akan menekan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengekstradisi Zakir kembali ke India tidak lam lagi.

Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji tuduhan terhadap Zakir mengikut undang-undang sedia ada.

Malah PH turut akan mengkaji keperluan untuk menghantar pendakwah itu.

Zakir yang juga warganegara India terlibat dengan tuduhan pengubahan wang haram bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta). -MalaysiaGazette