Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling

KUALA LUMPUR – Pas Sabah membidas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal apabila mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan boleh membangkitkan kebencian terhadap agama Islam.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, kenyataan Shafie bahawa sekiranya Pas menyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) banyak perkara yang diharamkan dianggap sebagai satu langkah tertekan dan mengikut emosi.

Menurutnya, sebagai seorang Islam, Shafie sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati.

Malah, kenyataan seumpama itu menampakkan seolah-olah PH dan Warisan sangat tertekan dalam PRK Sandakan kali ini.

“Pas merupakan sebuah parti yang jauh lebih berpengalaman dalam pentadbiran negeri khususnya Kelantan.

“Pas tidak pernah mengharamkan sesuatu perkara sesuka hati.

“Falsafah perjuangan yang dibawa oleh Pas adalah bersifat mendidik dan patuh kepada ajaran al-Quran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Aminuddin turut menasihatkan agar bekas naib presiden UMNO itu berpolitik dan berkempen dengan lebih matang serta tidak terlalu mengikut emosi sehingga memberi gambaran negatif terhadap Islam. – MalaysiaGazette