Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kanan) bersalaman dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika hadir pada Persidangan Parti DAP 2019 di IDCC, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2019

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mencari rangka kerja baharu dalam memastikan lebih banyak persamaan antara rakyat di negara ini berbanding perbezaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata model perkauman yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu, sudah tidak sesuai dan ketinggalan zaman.

“PH perlu membuat satu rangka kerja baru yang menyedari bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan, dan sementara latar belakang budaya kita mungkin berbeza, kehidupan kita saling berkaitan dan nasib kita sama.

“Kita tidak boleh terperangkap dalam zero sum game perkauman tetapi kita hanya boleh menang atau kalah bersama jika kita selesaikan masalah rakyat. Tidak kira kaum, agama,” katanya ketika merasmikan Persidangan DAP 2019 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Hadir sama adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya.

Justeru itu katanya, PH perlu terus meyakinkan semua rakyat bahawa model baharu ini seiring dengan masa depan politik, ekonomi, dan kebudayaan.

“Kita mesti buang kepercayaan yang menganggap kita akan didominasi oleh kaum tertentu. Ini adalah satu pembohongan dan ini hanya menguntungkan mereka yang bermain dengan politik perkauman,” katanya. -MalaysiaGazette