Penduduk, Mesa Ak Ugom, 54 bercakap kepada media semasa ditemubual di Rh Andi, Lubok Besai, Entaih, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

SARIKEI – Mungkin umum sudah terlupa insiden seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan kesan tembakan serta tetakan pada badan di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada Ogos 2017.

Sehingga kini, kes tersebut masih lagi kekal misteri tanpa sebarang penemuan bukti baharu mahupun dalang di sebalik kejadian tersebut.

Namun apa yang jauh lebih menyayat hati ialah rintihan bapanya ketika ditemui oleh Malaysia Gazette di rumah panjang mereka di Lubok Besai, Entaih Pakan baru-baru ini.

Mesa anak Ugom, 54, mengakui hubungan antara dia dan anak lelakinya, mendiang Valentino Mesa yang berusia 29 tahun mati dibunuh dengan kejam pada dua tahun lepas.

 

Kata Mesa dalam  tangisan, dirinya serta keluarga dan sahabat handai masih terus tertanya apakah sebenarnya yang terjadi kepada Valentino sehingga dibunuh sebegitu rupa.

Malah Mesa terus mempersoalkan bagaimana pembunuhan anaknya itu masih lagi menemui jalan buntu sehingga bertahun lamanya walaupun ianya dipercayai dilakukan dalam balai polis tempat dia bekerja.

WhatsApp Image 2019-05-05 at 2.19.30 PM (1)
Valentino Mesa

“Saya sendiri sudah berkali-kali menghubungi pihak berkuasa tetapi sampai hari ini mereka tidak beri apa-apa jawapan. Siasatan masih lagi tidak lagi menemukan siapakah yang melakukan perbuatan itu dan mengapa ianya dilakukan.

“Saya buntu dan sedih, pembunuh anak saya yang tidak berperikemanusian itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan namun ianya sampai kini tidak terlaksana. Mengapa? Kenapa? Siapa bunuh anak saya?

“Tolonglah, saya rayu kepada pihak kerajaan supaya segera cari siapakah yang lakukan perbuatan ini, saya tidak diberikan sebarang penjelasan sehingga kini. Saya mohon kepada kerajaan. Kini sudah ada kerajaan baharu, tolonglah bantu saya dan keluarga, kami ingin ketenangan,” tangisnya.

MGF05042019_TEMUBUAL PENDUDUK LUBOK BESAI08
Penduduk, Mesa Ak Ugom, 54 bercakap kepada media semasa ditemubual di Rh Andi, Lubok Besai, Entaih, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

Valentino juga dikatakan telah mula berkhidmat sejak tahun 2009 dan sudah berkahwin namun belum mempunyai anak.

Jelas Mesa lagi ketika ditanya tentang hari-hari terakhir Valentino, katanya tidak ada apa-apa yang pelik dengan kelakuan anaknya.

“Dia akan menghubungi kami di sini sekali sekala. Walaupun jarang sekali dia berkongsi masalahnya namun saya juga sangat pasti tidak ada apa-apa yang pelik. Dia tidak banyak masalah atau musuh. Itu saya pasti.

“Mungkin juga ada yang tidak berapa gembira dengan dirinya menjadi polis, mungkin. Saya tidak tahu tapi anak saya bukan orang jahat dengan banyak musuh sehingga diperlakukan sebegitu rupa.

“Dia hubungi saya beberapa hari sebelum kejadian dan bercakap seperti biasa sahaja, jadi bayangkan apa yang saya rasa apabila selepas beberapa hari itu, saya terima berita kematian dan mayatnya dalam keadaan ditembak dan ditetak,” ujarnya.

Pada insiden 2017 itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan dan pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan tembakan dan tetakan di badan mangsa termasuk di kepala.

“Tidak ada unsur-unsur lain. Cumanya dimana saya beritahu tadi kejadian ini memang dia (penyerang) masuk untuk mencederakan anggota kita dan satu tembakan daripada pistol anggota itu sendiri dan melarikan pistol tersebut.

“Pegawai yang terakhir melawat ialah dalam pukul 1.30 pagi, 1.15 pagi hingga 1.30 pagi ada lawatan pegawai untuk melawat balai,” kata Mazlan pada masa itu.

Beliau  turut mengesahkan tiada kamera litar tertutup di dalam balai polis berkenaan dan ketika kejadian mangsa seorang diri.

WhatsApp Image 2019-05-05 at 2.19.30 PM
Valentino Mesa dan isteri.

Ketika Malaysia Gazette menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kes itu masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen P209 Julau, Larry Sng yang turut dihubungi beberapa kali oleh keluarga Valentino juga mahu mendapatkan keadilan bagi keluarga tersebut.

“Selain bercakap dengan pihak polis untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya juga akan membawa isu ini ke Parlimen pada sesi akan datang ini, pada saya ini bukan satu kes yang boleh di pandang ringan.

“Keluarga ini mahukan pengadilan, kita semua mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi, ini adalah sesuatu yang langsung tidak boleh di kompromi,” tegasnya. –MalaysiaGazette