GEORGETOWN – Letupan kecil yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, dekat sini, pagi tadi menyebabkan 13 pelajar mengalami sesak nafas.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pelajar berkenaan yang berada dalam kelas bagi subjek Kimia sedang melakukan proses ujikaji makmal.
Menurut Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shahrul Nizam Che Hasan, mereka ketika itu sedang memanaskan cecair iodin untuk melihat tindak balas pemeluapan bahan kimia itu.
Kata beliau, proses pemanasan cecair iodin itu dipercayai dilakukan dalam makmal yang tidak mempunyai aliran pengudaraan yang baik.
“Anggota kami menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 pagi dan bergegas ke sekolah berkenaan bersama pasukan perubatan.
“Selepas tiba, kita membantu memberi rawatan awal kepada pelajar terbabit iaitu 11 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki.
“Semua pelajar juga diberi pengawasan dan bantuan oksigen oleh pasukan perubatan, manakala seorang pelajar perempuan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Mohamad Shahrul Nizam berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba Bayan Baru melakukan kerja pengudaraan untuk membantu mengeluarkan wap cecair iodin itu.
Katanya, tiada anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dipanggil untuk membantu kerana ia tidak membabitkan pencemaran bahan berbahaya. – MalaysiaGazette