Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin 'mengganas' sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.
Daripada mengajak orang ramai meminum minyak sawit untuk melonjakkan permintaan dan harga komoditi itu, lebih baik menteri menggalakkan orang mandi minyak sawit, kata Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Melanie Chua yang mempertikaikan kempen sawit itu.

SANDAKAN – Daripada mengajak orang ramai meminum minyak sawit untuk melonjakkan permintaan dan harga komoditi itu, lebih baik menteri menggalakkan orang mandi minyak sawit, kata Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Melanie Chua yang mempertikaikan kempen sawit itu.

Melanie berkata, kerajaan Pakatan Harapan kelihatan tidak mampu berbuat apa-apa pada ketika penduduk Sandakan yang bergantung hidup kepada minyak sawit berdepan masalah harga merudum.

“Menteri Industri Utama meminta kami minum minyak sawit, adakah ini jalan penyelesaiannya? Lebih baik kami mandi minyak sawit sahaja untuk selesaikan masalah minyak sawit yang tidak terjual.

“Bukannya kami tidak memberi peluang, tetapi kami tidak nampak apa yang telah dilakukan kerajaan,” katanya kepada China Press ketika berkempen untuk calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin di Sandakan.

Melanie juga melahirkan rasa kecewanya apabila DAP mempelawa wakil-wakil rakyat Semenanjung ke Sabah, tetapi mereka tidak berbicara atau memahami isu Sabah.

Menurut laporan media, Menteri Industri Utama, Teresa Kok telah menggalakkan Ahli-ahli Parlimen mengambil minyak sawit merah untuk ‘awet muda’.

Jelas Teresa, minyak sawit merah yang kaya dengan mikronutrien dengan lebih 20 jenis kumpulan karotenoid juga bersifat antioksida dan bebas daripada lemak trans.

Mengenai perkembangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Editor Sinchew Daily Sabah, Wang Li Ping berkata, DAP terus mendahului dalam kempen, tidak kira dalam pergerakan jentera, penyediaan bahan kempen, kesediaan ahli dan juga kelengkapan yang digunakan.

“DAP mendapat sokongan pemimpin Pakatan Harapan pusat dan menteri-menteri Persekutuan yang melawat Sandakan tanpa hentinya untuk mengumumkan projek pembangunan.

“Ceramah DAP Sabah menumpu kepada sumbangan mendiang Wong Tien Fatt dan hasrat beliau untuk memulihkan kemakmuran Sandakan,” katanya.

Menurut penganalisis politik Sabah itu, jentera PBS pula sehingga Sabtu lalu belum mengadakan apa-apa ceramah politik, tetapi menggunakan strategi rumah ke rumah

“Parti-parti lain yang menyatakan sokongan kepada PBS juga tidak menonjol, dan adalah jelas bahawa PBS ketinggalan dalam kempen ini.

“Walaupun begitu, DAP masih melihat PBS sebagai pesaing sengit, dan ini menyebabkan PBS menjadi sasaran kritikan,” katanya merumuskan suasana kempen di Sandakan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan