Bekas Anggota Polis, Md. Ali Amir Batcha bercakap kepada media mengenai kes penganiyaan terhadap dirinya di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA – Bekas penguasa polis, Md Ali Amir Batcha yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (D9) meminta kerajaan menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat kembali konspirasi tuduhan palsu melibatkan dirinya.

Malah, Md Ali, 65, turut menggesa agar tribunal itu dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran beliau sudah hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Bapa kepada lapan orang anak itu mendakwa, beliau telah dianiaya oleh pihak-pihak tertentu hingga dipenjara tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.

Menurutnya, akibat daripada perkara itu beliau kini hidup dalam keadaan tertekan hingga kudratnya tidak lagi berupaya untuk melakukan kerja-kerja bagi menyara keluarga.

“Saya nak kembalikan hak saya sebab seluruh proses untuk buang kerja saya adalah rekaan. Hanya masukkan saya (penjara) bukan kerana saya merompak.

“Dah hampir 20 tahun saya tuntut keadilan tetapi disebabkan ada unsur-unsur intimidasi (tindakan menakut-nakutkan) maka hasrat itu telah tersekat,” katanya selepas menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kali yang kedua berhubung perkara itu di sini hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Penasihat Pendaftaran di kementerian berkenaan, Ishak Jaafar.

MGF06052019_Kes Md Ali Amir Batcha_09
Mohd Onn Muda

Beliau ditemani bekas ketua polis Johor, Mohd Onn Muda.

Dalam pada itu Md Ali memberitahu, beliau pernah menghantar surat sama kepada beberapa pihak termasuk KDN namun, sehingga kini masih belum lagi menerima sebarang jawapan mengenainya.

Katanya, beliau benar-benar berharap agar kesnya itu disiasat kembali di bawah pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang sememangnya telus dan berintegriti.

Tambahnya, apa yang berlaku ke atas dirinya bukanlah satu perkara kecil sebaliknya, ia turut pernah dialami oleh rakan pasukannya Saipol Bahri.

Bagaimanapun ujar beliau, rakannya itu bernasib baik kerana hukuman penjara yang dikenakan lebih singkat iaitu empat bulan berbanding dirinya yang dipenjarakan selama tiga tahun.

“Jadi saya minta tribunal khas bukan dibawa ke mahkamah lagi sebab dah pernah saman sivil.

“Dengan adanya kerajaan baru dan dengan adanya pasukan baru yang berjanji membaik pulih PDRM, maka saya tuntut hak saya ini,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd Onn ketika ditemui berkata, beliau terpanggil untuk membantu Md Ali berhubung perkara itu ekoran atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan.

“Dia (Md Ali) pegawai peringkat bawah. saya hanya berurusan dengan ketua dia. Tapi saya terpanggil untuk membantu dan melihat apa yang boleh saya berikan,” ujarnya

Sebelum ini, Md Ali yang pernah memakai pangkat Asisten Superitendan (ASP) ketika berada dalam PDRM dan bertugas di Johor Bahru disumbat ke penjara atas dakwaan palsu kerana melakukan rasuah di dalam agensi itu.

Beliau dituduh telah melakukan rompakan sebanyak 34 kali, mengambil hasil rompakan, merancang untuk melakukan samun di bank selain dikatakan memiliki 13 pucuk pistol yang dibeli daripada penjenayah. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2018/12/14/saya-sedia-dibicara-semula-di-mahkamah-terbuka-bekas-asp/