Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, seiring dengan beberapa bursa serantau, berikutan penurunan harga minyak mentah global di samping rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin buruk, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.14 mata kepada 1,632.16 daripada 1,637.30 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.26 mata lebih lemah kepada 1,632.04.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 232 berbanding 73, manakala 139 kaunter tidak berubah, 1,641 kaunter tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 137.50 juta saham bernilai RM53.32 juta.

Peniaga berkata Presiden AS, Donald Trump membuat langkah “bijak” semalam menerusi akaunnya di Twitter dengan mengatakan pihaknya akan menaikkan tarif kepada 25 peratus daripada 10 peratus ke atas barangan China bernilai US$200 bilion.

“Beliau juga menyasarkan lagi US$325 bilion nilai barangan China dengan tarif 25 peratus.

“Trump menyebabkan kegagalan rundingan perdagangan dengan China susulan pengumuman itu. Mereka sepatutnya menyelesaikan krisis perdagangan yang telah lama berlanjutan namun ia tidak berlaku. Saya membimbang kita akan menyaksikan lebih banyak kaunter mencatatkan prestasi rendah di Bursa Malaysia terutama bagi syarikat berkaitan komoditi dan teknologi,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.25, Public Bank turun 14 sen kepada RM22.40, Petronas Chemicals kurang dua sen kepada RM8.93 dan Tenaga merosot 12 sen kepada RM12.18.

Bagi saham aktif diniagakan, Ekovest turun 2.5 sen kepada 93 sen, Hibiscus Petroleum kurang enam sen kepada RM1.03 manakala Iris dan Bumi Armada masing-masing susut setengah sen kepada 18 sen dan 21.5 sen.

Indeks FBM Emas kurang 46.54 mata kepada 11,565.22, Indeks FBMT 100 susut 42.33 mata pada 11,389.63 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 50.76 mata kepada 11,729.01.

FBM 70 merosot 79.60 mata kepada 14,441.79 dan FBM Ace turun 30.62 mata kepada 4,615.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 37.60 mata kepada 16,895.33, Indeks Perladangan kurang 7.7 mata kepada 7,194.17 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian mencatatkan 0.35 mata lebih rendah kepada 168.99. – MalaysiaGazette