Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas jurubank Goldman Sachs diserahkan secara sementara oleh kerajaan Malaysia kepada Amerika Syarikat (AS) pada 3 Mei lalu untuk menghadapi pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah di negara itu.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan penyerahan itu dibuat setelah waran penyerahan sementera Roger Ng ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 April 2019.

Katanya tandatangan itu dibuat selaras dengan terma Triti Ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan AS.

“Roger Ng telah diserahkan kerajaan Malaysia pada 3 Mei lalu dan akan dipulangkan ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di sini sebaik sahaja prosiding di AS dimuktamadkan.

“Tempoh penyerahan sementara ke atas Roger boleh disambung sekiranya dipersetujui kerajaan kedua-dua negara sekaligus membuktikan kerjasama antara agensi agensi kerajaan yang berkaitan bagi kedua-dua negara dalam semua perkara berhubung dengan skandal 1MDB,’ katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah Tommy,sebelum diserahkan kepada kerajaan AS, rundingan diantara kerajaan kedua dua negara telah berlangsung bagi menentukan dimana Roger akan dibicarakan terlebih dahulu.

“”Secara praktiknya akibat daripada Roger Ng menghadapi pertuduhan jenayah secara serentak bagi jenayah-jenayah yang berbeza di bawah dua sistem yang berbeza di dua negara bermaksud dia mestilah dibicarakan di kedua dua mahkamah di Malaysia dan AS.

“Maka, rundingan kedua dua kerajaan dalam soal itu pada akhirnya membawa kepada persetujuan supaya penyerahan sementara Roger Ng dibuat oleh malaysia bagi tempoh 10 bulan untuk membolehkan dia diekstradisikan ke AS dan bagi pihak pendakwaan AS untuk bertindak terlebih dahulu,” ujarnya.

Jelas beliau, Roger kemudian akan dipulangkan kepada Malaysia sejurus selepas pertuduhan dan prosiding ke atas Roger di mahkamah AS dimuktamadkan.

Sebelum ini katanya, Jabatan Peguam Negara ini telah menerima suatu permintaan ekstradisi daripada kerajaan Amerika Syarikat pada 23 Oktober 2018 terhadap Roger Ng bekas jurubank Goldman Sachs.

Tambah Tommy bertindak atas permintaan tersebut, pihaknya telah mendapatkan satu waran tangkap terhadap Roger Ng sebelum berjaya ditangkap pada 1 November 2018 untuk diekstradisi ke AS.

“Pada 18 Disember 2018, Roger Ng telah dituduh oleh Pendakwa Raya Mahkamah Malaysia bagi Kesalahan-Kesalahan melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 iaitu empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan AS berhubung pengeluaran bon 1Malaysia Development Berhad.

“Pada 15 Februari 2019, Riger Ng telah memaklumkan mahkamah keputusannya untuk mengetepikan prosiding ekstradisi. Tetapi dia bersetuju untuk menyerah diri kepada bidang kuasa mahkamah AS untuk menghadapi pertuduhan jenayah konspirasi melanggar peruntukan antirasuah foreign corrupt Practices Act, kosnpirasi melangar peruntukan kawalan perakaunan dalaman (Foreign Corrupt Practices Act) dan kosnpirasi melakukan pengubahan wang haram di United States District court, eastern district of New York, United States. – MalaysiaGazette