Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, Pulau Pinang terhidu gas iodin.

Insiden itu dikesan semasa kesemua pelajar berkenaan menjalankan uji kaji di makmal sekolah tersebut.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada pagi semalam.

“Ketika itu kesemua 19 murid dengan bantuan seorang guru telah terlibat dalam uji kaji pemanasan hablur iodin pada pagi semalam,” kata kenyataan hari ini.

Menurut KPM, pihak sekolah mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dipatuhi apabila mengendalikan ujikaji di makmal.

“Justeru siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian itu.

“Manakala seramai 12 orang terhidu gas iodin dengan seorang telah dikejarkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk pemeriksaan pesakit luar.

“Seramai 11 orang murid lain telah diberi rawatan sewajarnya di sekolah dan pihak sekolah juga akan menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada kesemua pelajar yang terlibat dalam menghadapi situasi ini,’ menurut kementerian itu.- MalaysiaGazette

13 pelajar sesak nafas, uji makmal gagal