Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Henti politikkan perkauman,agama dan kerabat diraja, kata bekas Menteri Tan Sri Rais Yatim.

Beliau dalam masa yang sama menyifatkan UMNO dan Pas tidak mempunyai idea tersendiri yang lebih baik untuk dicetuskan, sebaliknya menggunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ) semasa Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam Sabtu lalu.

Tambah beliau, apa yang sepatutnya ditumpukan adalah urus tadbir yang baik, perubahan sosial dan kebajikan rakyat.

“Henti politikkan perkauman, agama dan kerabat diraja.

“Fokus kepada urus tadbir yang baik, kebajikan rakyat dan perubahan sosial. Himpunan pada Sabtu hanya politikkan isu TMJ selain gunakan plakad.

“Ini membuktikan UMNO dan Pas tidak boleh bangkitkan isu sendiri,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Peserta himpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) pada Sabtu yang lalu dilihat turut membawa plakad dan poster TMJ.

Ia dipercayai sebagai sokongan kepada TMJ yang sering bersuara tentang kerajaan Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap di himpunan tersebut turut menyatakan penghargaan kepada anak kepada Sultan Johor itu kerana membongkar usaha kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom. – MalaysiaGazette