Nuridah Mohd Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Semua badan wanita dan kebajikan digesa bangkit bagi menyatakan pendirian mengecam kezaliman berterusan Israel terhadap Palestin.

Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah bersolidariti itu perlu dilakukan oleh badan kebajikan tanpa mengira latar belakang agama.

Menurutnya, Israel telah melakukan kekejaman yang melampau hingga melanggar Undang-undang Antarabangsa khususnya Konvensyen Geneva IV.

“Muslimat Pas mengecam tindakan berterusan dan tidak bertamadun Israel yang dengan mudahnya mengambil nyawa kanak-kanak, wanita dan orang awam Palestin demi keselamatan dan kepentingan mereka.

“Tindakan ini jelas melanggar Undang-undang Antarabangsa khususnya Konvensyen Geneva IV yang mewajibkan tentera bagi negara-negara pihak yang berperang untuk memastikan rakyat awam lebih-lebih lagi wanita dan kanak-kanak tidak menjadi mangsa korban kepada tindakan kekerasan ketenteraan.

“Sementelah, Israel sendiri adalah negara parti kepada Konvensyen tersebut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Justeru kata beliau, badan awanita dan kebajikan berkenaan perlu bersatu dengan menggunakan segala kemampuan harta dan pangkat demi membantu golongan rentan yang dizalimi di Palestin. – MalaysiaGazette