Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) meminta kerajaan untuk menyegerakan proses pemulihan Malaysia Airlines Bhd.

Ini termasuk merombak barisan pengurusan yang sepatutnya bertanggung jawab ke atas kelemahan prestasi syarikat penerbangan itu pada hari ini, katanya.

Sekretariat NUFAM dalam satu kenyataan di sini hari ini turut menyarankan supaya kerajaan menyiasat mengapa syarikat penerbangan itu masih merekodkan kerugian walaupun telah diperuntukkan dana sebanyak RM6 bilion yang telah disalurkan dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines untuk tempoh lima tahun.

Katanya, banyak pihak mempertikaikan mengapa pengurusan tertinggi Malaysia Airlines masih kekal di jawatan masing-masing dan mendapat sokongan kerajaan baharu walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui kerugian teruk yang ditanggung syarikat tersebut berpunca daripada kelemahan pengurusan.

Isnin lalu, Dr. Mahathir mengesahkan kerajaan masih belum mendapat formula terbaik untuk menyelesaikan masalah yang ditanggung oleh syarikat penerbangan itu.

Katanya, suntikan dana sebanyak RM6 bilion dan pemberhentian 6,000 kakitangan sejak 2014 masih gagal memulihkan Malaysia Airlines.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir juga jelas mencerminkan bahawa kelemahan pengurusan syarikat masih ada dan kerugian besar syarikat ini berpunca dari kelemahan pengurusan di dalam Malaysia Airlines dan bukan sebab pekerja-pekerja yang telah dihentikan oleh pihak syarikat.

“Tetapi soalanya juga mengapakah kerajaan tidak membuat satu rombakan ke atas pengurusan Malaysia Airlines setelah ramai pihak telah mengkritik pengurusan Malaysia Airlines? Itu paling utama yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan jika tidak mahu Malaysia Airlines terus rugi.

“Sudah setahun lamanya isu-isu ini telah ditengahkan oleh banyak pihak sejak kerajaan baru ambil alih tetapi ia masih tidak ada perubahan,” kata NUFAM.

Selain itu, NUFAM turut meminta pemegang kepentingan tunggal Malaysia Airlines, Khazanah Nasional Bhd. memberi penjelasan mengenai peruntukan sebanyak RM6 bilion yang diterima oleh syarikat penerbangan itu pada 2014.

“Isu ini bukan kecil dan harus disiasat jika penyelewengan berlaku sehingga menyebabkan Malaysia Airlines masih rugi hari ini. Kerajaan harus mengambil tindakan segera terhadap mereka yang telah bertanggungjawab ke atas kerugian ini. Mustahil sungguh setiap kali Malaysia Airlines menerima dana besar dari kerajaan ia masih rugi.

“Jika benar dana yang disalurkan untuk pemulihan Malaysia Airlines, tidak mungkin syarikat itu terus rugi teruk hari ini.

“Dana sebanyak RM6 bilion itu bukan sikit malah ia boleh membayar beribu gaji pekerja dan juga membayar bonus tunggakan selama 4 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, NUFAM turut meminta kerajaan membantu pekerja-pekerja Malaysia Airlines yang telah dibuang kerja serta pekerja-pekerja baharu yang hanya diberikan kontrak selama enam bulan sahaja.

Jelasnya, NUFAM telah menghantar beberapa cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk meneliti semula masalah yang dialami oleh pekerja-pekerja syarikat penerbangan itu.

“Banyak cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan untuk membantu pekerja pekerja Malaysia Airlines yang telah mengangur dan telah hilang pekerjaan tetap sejak tiga tahun lepas tetapi malangnya tiada perbincangan terbuka dilakukan mengenai isu ini.

“NUFAM berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dapat melakukan sesuatu segera untuk membantu 6,000 pekerja yang telah hilang mata pencarian mereka. Apa yang jadi hari ini kepada mereka adalah atas sikap rakus kerjaaan lama yang tidak mahu mendengar nasihat kami,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

NUFAM serah memorandum kepada Menteri Sumber Manusia

Tutup Malaysia Airlines bukan penyelesaian terbaik – NUFAM