Ahmad Farhan Sharifuddin (kiri) bersama Mohammad Nizam Yahya. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi keempat, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM), Ahmad Farhan Sharifuddin yang dipanggil semula bagi memberi keterangan dalam prosiding SRC International yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan agak terganggu dan hilang sabar apabila disoal bertubi-tubi.

Malah Ahmad Farhan juga beberapa kali telah menyatakan kepada peguam bela, Harvinderjit Singh bahawa dirinya bertanggungjawab untuk menjalankan analisis dan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil apa-apa tindakan susulan pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimana, Harvinderjit dilihat tidak berpuas hati dan terus mengemukakan beberapa soalan secara berterusan sehingga menyebabkan Ahmad Farhan kelihatan begitu terganggu menyebabkan beliau meninggikan suara dan mengatakan tidak tahu untuk semua soalan tersebut.

MGF08052019_NAJIB MAHKAMAH04
Peguambela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh hadir pada perbicaraan anak guamnya berkaitan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2019.

Ahmad Farhan juga mempersoalkan mengapa peguam bela itu asyik tidak faham dan bertanya soalan yang sama walaupun telah diterangkan sebelum ini.

Harvinderjit kemudian berhenti menyoal dan menyatakan soal balasnya sudah selesai.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam nada mengusik bertanya Harvinderjit sama ada terdapat lagi soalan untuk dikemukakan kepada Ahmad Farhan.

“Adakah anda pasti,” tanya Mohd Nazlan yang kemudian menyebabkan bilik prosiding gamat seketika.

Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah turut mengemukakan soalan bagaimana dan mengapa telefon jenis BlackBerry dan Samsung telah disita semasa pencarian BNM di AmBank.

Ahmad Farhan tidak pasti mengapa telefon itu telah dirampas malah tidak tahu gajet tersebut telah disita.

Ketika disoal adakah dia bersetuju barangan itu perlu dikembalikan semula, kata Ahmad Farhan berkata, tidak perlu bagi tujuan siasatan yang dilakukannya. – MalaysiaGazette