Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyatakan kesediaan untuk membantu pesawah dengan membekalkan baja yang diperlukan.

Pengerusinya, Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, pihaknya prihatin dan mengambil berat tentang isu kelewatan pembekalan baja yang dialami Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

“NAFAS tidak mempunyai masalah untuk membuat pembekalan kepada petani di Kedah dan Perlis memandangkan NAFAS mempunyai simpanan stok baja yang mencukupi.

“Prosedur pembekalan semasa menetapkan bahawa pembekalan baja perlu dibuat selewat-lewatnya 30 hari daripada tarikh pesanan diterima.

“Sehingga 30 April 2019, sebanyak 21,500 matrik tan pesanan baja telah diterima daripada Mada dan daripada jumlah itu, 7,717 matrik tan atau 35.89 peratus telah dibekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Pahrolrazi, baki sebanyak 14,323 metrik tan atau 66.2 peratus baja akan dibekalkan secara berperingkat sehingga 31 Mei 2019 sepertimana ditetapkan prosedur pembekalan.

Menurut beliau, NAFAS sendiri telah bertindak proaktif membuat pembekalan baja seawal minggu pertama bulan April lalu walaupun kontrak lanjutan pembekalan diterima pada 5 April lalu.

“NAFAS berharap semua pihak terutama PPK dapat menghantar pesanan lebih awal supaya pihak kami dapat membekal baja bagi mengelak isu kelewatan seperti ini tidak berulang,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas menerima aduan dua petani yang mewakili 68,000 pesawah dalam kawasan Mada di Kedah dan Perlis yang gusar kerana masih belum menerima baja untuk kegunaan sawah bagi musim pertama 2019.- MalaysiaGazette