Hujan lebat di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak malam tadi telah menyebabkan berlakunya banjir kilat dan memaksa 51 orang penduduk di Sungai Dua dan di sini berlindung di pusat pemindahan sementara.

BUTTERWORTH – Hujan lebat di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak malam tadi telah menyebabkan berlakunya banjir kilat dan memaksa 51 orang penduduk di Sungai Dua dan di sini berlindung di pusat pemindahan sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata mangsa banjir yang terdiri daripada 27 orang dewasa termasuk dua warga emas, 23 kanak-kanak dan seorang bayi itu dipindahkan ke Dewan Muhibbah, Sungai Dua di sini pukul 5.30 pagi.

“Sehingga pagi ini kawasan yang di landa banjir ialah Flat Mak Mandin, Kampung Lahar Ikan Mati, Kampung Setol, Kampung Merbau Kudung, Kampung Sungai Lokan dan Kampung Chegar. Semua mangsa terlibat telah di pindahkan ke Dewan Muhibbah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil langkah segera iaitu penyelesaian jangka pendek dengan menjalankan kerja pembersihan dan penyelenggaraan serta memastikan tiada halangan ke atas sistem saliran sedia ada.

“Selain itu, kami juga akan melaksanakan pembaikan segera ke atas semua struktur yang telah rosak di kawasan kejadian, ” katanya.

Sementara itu, Phee berkata di bahagian pulau pula, beberapa buah rumah di Teluk Kumbar dan Balik Pulau turut dilaporkan dinaiki air melebihi paras buku lali.

Katanya antara kawasan yang terlibat ialah Flat Sri Indah, Kampung Pulau Betong, Permatang Tengah dan Kampung Sulup.

“Beberapa kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku sejak petang semalam hingga awal pagi ini , antara di Jalan Paya Terubong menuju ke Relau dan ke Air Itam,” katanya.

Banjir kilat dan hujan lebat itu juga telah menyebabkan kesesakan teruk di jalan-jalan utama termasuk di atas Jambatan Pulau Pinang menghala kedua-dua arah dan di Lebuh Raya Jelutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi semalam, hujan yang berlaku sejak Isnin lepas dijangka berterusan sepanjang hari ini di Pulau Pinang.

— BERNAMA