Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan prestasi rendah berikutan penjualan berterusan di seluruh papan, dalam keadaan ekuiti serantau yang lemah serta pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 15.02 mata kepada 1,618.53 daripada 1,633.55 ketika ditutup pada Rabu, dengan Nestle merosot RM3.40 kepada RM145, mendorong penurunan.

Indeks itu dibuka 3.94 mata lebih rendah kepada 1,629.61, dan bergerak antara 1,618.33 dan 1,63044 sepanjang dagangan.

Secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 610 berbanding 246 manakala 333 kaunter tidak berubah, 721 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.14 bilion saham bernilai RM2.02 bilion daripada 2.47 bilion saham bernilai RM2.06 bilion yang dicatatkan semalam.

“Faktor luaran tidak begitu menggalakkan bagi bursa tempatan,” kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata bank pusat seperti di China dan India mula melonggarkan dasar monetari masing-masing untuk merangsangkan ekonomi mereka.

Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga masih tidak dapat diselesaikan malah risiko geopolitik turut semakin meningkat, katanya.

Rakuten Trade, bagaimanapun, kekal positif terhadap pasaran ekuiti khususnya didorong usaha kerajaan, yang diyakini serius untuk memulihkan ekonomi domestik yang lembap.

Sementara itu, pengurangan OPR mendorong saham perbankan kebanyakannya rendah, didahului Public Bank, yang turun 12 sen kepada RM22.28, CIMB susut tujuh sen kepada RM5.13 dan Hong Leong merosot 24 sen kepada RM19.62.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.97, Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM8.90, manakala Tenaga susut lapan sen kepada RM11.94.

Bagi saham yang aktif didagangkan, Bumi Armada meningkat setengah sen kepada 21 sen, manakala Lambo dan Impiana masing-masing kekal pada lapan sen dan 1.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 110.04 mata kepada 11,427.98, FBMT 100 susut 110.28 mata kepada 11,257.76 dan FBM 70 jatuh 162.03 mata kepada 14,126.00.

Indeks FBM Emas Syariah menguncup 131.14 mata kepada 11,633.39 dan Indeks FBM Ace turun 13.20 mata kepada 4,544.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 106.34 mata kepada 16,599.90, Indeks Perladangan turun 58.03 mata kepada 7,107.75 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.71 mata kepada 167.09.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama sebanyak 1.33 bilion saham bernilai RM1.85 bilion berbanding 1.35 bilion saham bernilai RM1.8 bilion yang dicatatkan semalam.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 399.71 juta unit bernilai RM114.40 juta berbanding 554.39 juta unit bernilai RM170.12 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 411.74 juta saham bernilai RM56.02 juta berbanding 562.39 juta saham bernilai RM89.53 juta pada Rabu.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 271.15 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (162.75 juta), pembinaan (266.87 juta), teknologi (72.85 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.06 juta), hartanah (104.06 juta), perladangan (24.02 juta), REIT (14.19 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (294.66 juta), penjagaan kesihatan (25.08 juta), telekomunikasi dan media (38.50 juta), pengangkutan dan logistik (20.95 juta) dan utiliti (21.47 juta). – MalaysiaGazette