Meng Wanzhou

WANSHINGTON- Ketua Pegawai Kewangan Huawei berhasrat untuk mendapatkan penangguhan prosiding ekstradisi berdasarkan beberapa hujah yang antaranya kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden Donald Trump berhubung kes berkenaan.

Meng Wanzhou, 47, anak kepada pengasas Huawei Technologies, Ren Zhengfei ditahan di lapangan terbang Vancouver pada Disember dengan menggunakan waran Amerika Syarikat atas dakwaan berkonspirasi untuk menipu bank-bank global mengenai hubungan Huawei dengan sebuah syarikat yang beroperasi di Iran.

Beliau cuba membantah perintah ekstradisi itu.

Selepas Meng ditahan, Trump memberitahu Reuters yang beliau akan masuk campur dalam kes tersebut sekiranya perbuatan itu mampu untuk memuktamadkan rundingan dengan China.

Pasukan peguam bela Meng berkata, dokumen tersebut telah diserahkan kepada Mahkamah Tinggi British Columbia pada Rabu dan mereka berhasrat untuk memohon penangguhan prosiding ekstradisi berdasarkan kenyataan Trump.

Peguam beliau juga mendakwa Meng ditahan, diperiksa dan disoal-siasat secara tidak sah di lapangan terbang itu.

Selain itu, para peguamnya turut mengatakan tiada bukti yang mengesahkan beliau telah menipu sebuah bank mengenai hubungan Huawei dengan sebuah syarikat beroperasi di Iran, Skycom.

Sekiranya benar Meng telah menipu bank berkenaan, beliau telah menyebabkan bank tersebut berisiko melanggar undang-undang sekatan Iran.

Menurut peguam Meng, bank berkenaan memahami hubungan di antara Huawei dan Skycom.- MalaysiaGazette